[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
MALAYSIA

Institusi Islam perlu bergerak seiring perubahan era digital - Sultan Nazrin

Abd Razak Mohd Ali 26/06/2025 | 02:10 MYT
Sultan Nazrin Shah (tiga, kiri) berkenan berangkat pada Majlis Pelancaran ZAPAR anjuran MAIPk di ZAPAR hari ini. Hadir sama, Saarani (dua, kiri) dan Mohd Annuar (kanan). --fotoBERNAMA
IPOH: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Institusi Islam perlu bergerak seiring perubahan era digital dan kemajuan teknologi agar tidak tenggelam dan tidak dilihat lapuk tanpa sebarang pembaharuan.
Titah Sultan Perak, agama Islam tidak hadir sekadar mengatur hubungan manusia dengan Allah, malah perlu diimbangkan dengan mengolah tatacara hubungan sesama manusia.
Menurut baginda, Islam mahu umatnya berusaha mencipta dan mencapai kemajuan dengan bersedia melakukan penghijrahan, tidak terbatas dalam perkara-perkara spiritual tetapi merangkumi perkara-perkara material.
“Islam menganjurkan manusia untuk berani melakukan hijrah. Amalan berhijrah hendaklah dilakukan sepanjang hayat. Insan yang enggan atau takut berhijrah akan terpinggir dan tertinggal.
“Oleh itu institusi Islam yang dinamik, perlu bergerak seiring perubahan era digital dan kemajuan teknologi agar tidak tenggelam dan tidak dilihat lapuk tanpa sebarang pembaharuan,” titah baginda pada majlis pelancaran Zakat Perak Al Ridzuan di Pusat Zakat Al Ridzuan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Sultan Nazrin memuji Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kerana mengambil pendekatan berani, merintis langkah strategik, melakukan penghijrahan, mengolah struktur organisasi dan budaya kerja baharu.
Menurut baginda, pelancaran Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) merupakan inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti.
Di samping itu, titah baginda, organisasi itu akan memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan pembayar zakat.
“Keutamaan tata kelola yang cekap dan teratur serta berorientasi digital yang diterapkan di ZAPAR akan menyuburkan peranan institusi Islam seiring arus kontemporari.
“Melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.
“Kemajuan teknologi juga membantu mempercepatkan proses agihan secara lebih menetapi sasaran dengan pengumpulan maklumat yang lebih tepat dan tersusun,” tambah baginda.
Baginda bertitah, setiap transaksi yang berlaku mudah dijejak oleh pembayar dan penerima, sekali gus meningkatkan ketelusan integriti institusi.
#Sultan Nazrin Shah #MAIPk #hijrah #zakat