Institusi keluarga kukuh berperanan bendung remaja terlibat jenayah - Ketua Polis Kelantan

Bernama
Februari 17, 2024 10:16 MYT
Muhamad Zaki ketika bertemu pengamal media pada sidang media selepas Program Community Policing Khatan Perdana Percuma di Dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Geng hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Institusi kekeluargaan yang kukuh memainkan peranan penting bagi membendung remaja terlibat dengan masalah sosial dan jenayah, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.
Beliau berkata terdapat kes-kes jenayah melibatkan remaja di negeri berkenaan berpunca akibat kelonggaran institusi keluarga.
"Kita dapati ibu bapa tidak mempunyai masa bersama anak-anak menyebabkan mereka (anak-anak) mudah terpengaruh dengan rakan untuk melakukan jenayah atau terlibat dengan masalah sosial.
"Institusi keluarga longgar mungkin disebabkan perubahan zaman di era semua orang mencari nafkah sehingga tidak tahu perkara dilakukan anak-anak. Bukan di Kelantan institusi ini tidak bagus, namun perlu diperkuat supaya masalah jenayah melibatkan remaja dapat diatasi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Policing Khatan Perdana Percuma di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Geng di sini hari ini.
Muhamad Zaki berkata pihaknya memerlukan kerjasama masyarakat bagi membendung masalah remaja di Kelantan.
"Serius atau tidak, setiap kes yang berlaku perlu diambil berat kerana ia tidak sepatutnya berlaku kepada golongan remaja atau kanak-kanak," katanya.
-- BERNAMA
#institusi keluarga #bendung jenayah #Ketua Polis Kelantan #Muhamad Zaki Harun #Kanak-kanak #remaja