Institusi kesihatan awam di Sarawak kekal guna pembayaran tunai 1 Oktober ini

Nuzuluddin Abdul Razak
Julai 27, 2022 03:30 MYT
Semua institusi kesihatan awam termasuk hospital dan klinik kesihatan di Sarawak kekal menggunakan kaedah pembayaran secara tunai.
KUCHING: Semua institusi kesihatan awam termasuk hospital dan klinik kesihatan di Sarawak kekal menggunakan kaedah pembayaran secara tunai, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Perkara itu menurut beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri diambil ekoran liputan jalur lebar yang kurang memuaskan di luar bandar selain kemahiran digital yang masih rendah dalam kalangan warga emas di negeri itu.
“Sarawak akan menyokong inisiatif tersebut yang sejajar dengan pemerkasaan ekonomi digital dan Menteri Kesihatan sendiri telah memberi jaminan kepada perkara ini juga setelah meneliti liputan internet di luar bandar Sarawak.
“Maka kita akan mengekalkan kaedah pembayaran tunai di semua klinik kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan hospital umum di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di facebooknya pada Rabu.
KKM dalam satu pekeliling pada 24 Jun lalu memaklumkan semua fasiliti KKM akan menerima pembayaran tanpa tunai mulai 1 Oktober depan menerusi mod e-pembayaran seperti kad debit, kad kredit dan e-dompet.
Sementara pembayaran secara tunai hanya dibenarkan jika pelanggan tidak mempunyai akses sedemikian.
Untuk rekod setakat April 2022, Sarawak dihuni lebih 300,000 warga emas berusia 60 tahun ke atas serta memiliki sekitar 197 Klinik Kesihatan dan poliklinik di 28 daerah termasuk di pedalaman.
#Sarawak #institusi kesihatan awam Sarawak #pembayaran secara tunai #pedalaman sarawak