Institusi tahfiz diberi tumpuan dalam Bajet 2018 - PM Najib

Israr Khalid
September 29, 2017 16:01 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) ketika menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn malam ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan sesuatu berkenaan kedudukan institusi tahfiz di negara ini akan diumum dalam Bajet 2018 nanti.
Katanya, kerajaan mengambil maklum perkembangan daripada kesan peristiwa hitam kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur dan berharap tindakan lebih tegas dapat diambil dalam mengutamakan aspek keselamatan di institusi pendidikan agama itu.
"Yang lain boleh diambil kira kemudian seperti kurikulum dan sebagainya. Utamakan aspek keselamatan pelajar-pelajar.
"Kita akan umumkan sesuatu dalam Belanjawan nanti berhubung kedudukan semua tahfiz di dalam negara kita," katanya dalam sidang media selepas selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC pada Jumaat malam.
Maklum Presiden UMNO itu lagi, Bajet 2018 yang akan dibentang bulan hadapan ini tidak akan menjadi bajet yang populis, tetapi perlu teliti dan pada masa sama merangkumi perkara yang menjamin hal ehwal rakyat.
Selain itu, beliau turut berkata bahawa sebahagian nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sudah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Senarai tambahan akan kita kemukakan bila nama-nama calon sudah disahkan. Nama sudah ada tetapi belum sampai peringkat pengesahan lagi.
"Setakat ini Barisan Nasional (BN) sahaja sudah kemukakan nama kepada SPRM. Pembangkang belum lagi," kata beliau.
Dalam sidang media itu juga Perdana Menteri turut mengulangi tarikh Perhimpunan Agung UMNO iaitu bermula 5 Disember nanti dan ianya muktamad.
#bajet #Bajet 2018 #majlis tertinggi #Najib Razak #Perdana Menteri #pilihan raya #Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah #SPRM #UMNO