Skip to main content

Malaysia

Integrasi AI dalam pendidikan tinggi penting bina modal insan, nilai moral - Zambry

KUALA LUMPUR, 17 Mei -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bercakap pada sesi temu bual eksklusif bersama Bernama di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini._BERNAMA
Zambry berkata, kemunculan bidang algoritma AI, pengkomputeran kuantum dan kesihatan planet memerlukan nilai etika dan moral diterapkan secara berkesan dalam kurikulum akademik. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

IPOH: Pengintegrasian kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu muncul dalam pendidikan tinggi amat penting untuk membangunkan modal insan dan intelektual yang diperlukan untuk menghadapi ketidaktentuan global ketika ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah pun membangunkan pelan tindakan bagi tempoh 10 tahun akan datang, dari 2026 hingga 2035 untuk mencapai keseimbangan menyeluruh antara kemajuan teknologi, pertumbuhan modal insan dan pembangunan moral.

Beliau berkata dengan kemunculan bidang baharu seperti algoritma AI, pengkomputeran kuantum dan kesihatan planet, Institusi Pengajian Tinggi perlu memastikan nilai etika dan moral diterapkan secara berkesan dalam kurikulum akademik.

"Kita berharap dapat melahirkan generasi baharu untuk masa depan, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan semasa dengan kewujudan dan AI, algoritma yang ada ... kita perlu mencari keseimbangan, menekankan aspek moral, serta menerapkan nilai etika dalam sistem (pendidikan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi antara ahli panel pada sesi satu “Pendidikan Pemangkin Pemerkasaan Sosial” (Education Matters: Social Empowerment) bersempena dengan Persidangan Mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) kelapan bertemakan “Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan Dalam Islam” (Everyone Matters: Pride and Unity in Islam) di sini, hari ini.

Zambry menjelaskan bahawa pendidikan tidak lagi boleh bersifat kaku, sebaliknya perlu beralih daripada pendekatan tradisional Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada STEAM, dengan menggabungkan bidang seni bagi membentuk sahsiah selain kemahiran teknikal.

"Konsep STEM itu sendiri telah diperluaskan dengan menambah satu lagi elemen iaitu huruf 'A', menjadikannya STEAM. Huruf 'A' itu merujuk kepada bidang seni yang turut perlu diberi perhatian dan dipelajari."

"Sebagai contoh, di Universiti Teknologi Petronas sudah memperkenalkan kejuruteraan bersepadu, yang mengkehendaki anda mengambil kursus lain bagi membina personaliti dan karakter anda, kerana pada akhirnya tujuan pendidikan adalah untuk membentuk minda (supaya lebih kritikal)," katanya.

Beliau berkata pelan pendidikan 10 tahun itu meletakkan aspek kemanusiaan sebagai teras, dengan matlamat melahirkan bukan sahaja individu yang mempunyai pemikiran kritikal, tetapi juga memiliki sahsiah, jiwa dan nurani. 

"Dalam dunia hari ini, sebagai contoh, AI akan memberikan segala-galanya, semua jawapan yang anda perlukan atau jawapan pantas yang anda mahukan, ia memberikan penyelesaian kepada anda, tetapi anda juga perlu ingat bahawa ia tidak mampu membimbing karakter yang perlu anda bangunkan dalam diri.

"Di sinilah pendidikan menyeluruh, iaitu cara kita melihat pendidikan menjadi sangat penting," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement