Skip to main content

Malaysia

Integriti sejati berteraskan kompas moral - Tengku Maimun

[TB]_Tun Tengku Maimun Tuan Mat_FB Universiti Kebangsaan Malaysia - UKM
Tengku Maimun berkata, budaya organisasi yang hanya bertunjangkan pematuhan dangkal (compliance-based) berisiko melahirkan individu yang sentiasa mencari ruang dan kelompangan undang-undang untuk mengelakkan tindakan atau hukuman. - Gambar Bernama
Advertisement

BANGI: Integriti tidak seharusnya disempitkan hanya kepada aspek kewangan seperti ketiadaan rasuah atau pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sebaliknya perlu berteraskan kompas moral dalaman yang mendorong seseorang melakukan perkara yang benar walaupun berdepan kesukaran.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, budaya organisasi yang hanya bertunjangkan pematuhan dangkal (compliance-based) berisiko melahirkan individu yang sentiasa mencari ruang dan kelompangan undang-undang untuk mengelakkan tindakan atau hukuman.

"Sering kali, apabila kita menatap akhbar, menjejaki media sosial mahupun dalam perbualan harian, kita mempunyai kecenderungan untuk menyempitkan takrif integriti kepada urusan kewangan iaitu ketiadaan rasuah, tidak mengambil atau memberi sogokan, atau sekadar mematuhi buku peraturan dan SOP secara mekanikal.

"Akan tetapi, kita harus berhati-hati dengan pemahaman yang sempit ini. Budaya organisasi yang hanya mementingkan pematuhan dangkal akan melahirkan warga kerja yang sentiasa licik mencari kelompangan dalam undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Syarahan Perdana Integriti: Pemangkin Jiwa Merdeka di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Menurut beliau, individu yang hanya berpegang kepada pematuhan minimum lazimnya akan bertanya apakah syarat paling rendah yang perlu dipenuhi bagi mengelakkan tindakan tatatertib, sedangkan budaya berteraskan integriti moral menuntut persoalan yang lebih mendalam tentang perkara yang paling betul dan wajar dilakukan.

"Budaya organisasi yang berakar umbi daripada integriti moral akan sentiasa bertanya soalan yang jauh lebih sukar dan lebih menuntut pengorbanan iaitu apakah perkara yang paling betul dan wajar untuk dilakukan, walaupun ia sukar, walaupun ia menjejaskan kedudukan peribadi dan walaupun ia tidak popular," katanya.

Tengku Maimun berkata, integriti sejati terdiri daripada dua komponen utama yang saling berkait rapat, iaitu komponen dalaman dan komponen luaran.

Beliau menjelaskan, komponen pertama ialah kompas dalaman yang mencerminkan keimanan, hati nurani serta komitmen untuk melakukan perkara yang benar walaupun tiada sesiapa yang memerhati.

"Kompas inilah yang mendorong sesuatu tindakan yang betul walaupun undang-undang atau peraturan pejabat mungkin membenarkan jalan keluar yang kurang terhormat. Ia ialah iltizam dan komitmen mutlak untuk melakukan perkara yang hak pada ketika tiada sesiapa pun melihat kita," katanya.

Sementara itu, komponen kedua pula ialah tindakan nyata seseorang apabila berdepan tekanan, desakan atau godaan dari luar termasuk campur tangan politik, tekanan pihak atasan dan tawaran habuan yang boleh menggugat prinsip diri.

"Di persimpangan inilah integriti seseorang diuji, sama ada dia akan kekal berdiri teguh atau sebaliknya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi umat Islam yang meyakini hari pembalasan, pembentukan dan pemeliharaan integriti tidak seharusnya menjadi sesuatu yang sukar kerana setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Beliau berkata, kesedaran bahawa setiap amalan, walau sekecil zarah sekali pun, akan dihitung di Padang Mahsyar sepatutnya membentuk individu yang benar-benar berjiwa merdeka dan tidak mudah menggadaikan integriti.

"Justeru, sebagai seorang Islam, kita lebih dituntut untuk melihat integriti itu sebagai satu desakan dalaman untuk sentiasa melakukan perkara yang betul, bukan kerana takutkan hukuman, tetapi kerana kesedaran tauhid yang tinggi bahawa Allah SWT sedang dan sentiasa memerhati (muraqabah)," katanya.

Must Watch Video

Advertisement