HULU KINTA: Pembangunan negara yang mapan tidak boleh hanya bergantung kepada teknologi, kecanggihan ekonomi atau transformasi digital semata-mata, sebaliknya kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia perlu bermula daripada asas paling dekat, iaitu institusi keluarga.
Perdana Menteri berkata keluarga merupakan tapak utama pembentukan akhlak, nilai dan identiti generasi masa depan, biarpun Malaysia sedang giat memperkukuh kecakapan digital, kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan STEM.
Advertisement
Tegasnya lagi, dalam perlumbaan global yang semakin kompetitif, Malaysia tidak boleh mengabaikan asas moral dan nilai yang membentuk keperibadian rakyat.
“Rumahku, syurgaku. Maknanya mesti asal dari rumah. Bapa dan ibu itu, menjadi bukan sahaja pendidik dengan kasih sayang, tapi contoh yang baik kepada anak-anak. Bayangkan, kita bincang tentang ekonomi. Sekarang ini, teknologi maklumat, transformasi digital, perubahan tenaga.
“Tetapi, pangkalnya, masih keluarga. Sebab itu, saya menyokong dan memberikan segala dorongan, kepada menteri dan kementerian, untuk fokus dalam soal untuk membangunkan keluarga yang sihat dan murni. Dan dasar kasih keluarga ini satu peringatan kepada kita.
“Dalam kita sibuk mencari dana dan membina kekuatan negara dengan segala kecanggihan. sistem pendidikan baharu, kemudahan baharu, kita jangan remehkan dan meninggalkan asas pendidikan keluarga, dan kasih keluarga sebagai pangkal dan asas. Ini sebab mengapa program ini dimunculkan pada hari ini,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Peluncuran Dasar Kasih Keluarga Negara dan Jelajah Sejahtera Madani – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR), di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, Dasar Kasih Keluarga Negara dirangka selari dengan reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan kerajaan, termasuk keputusan menurunkan umur kemasukan sekolah kepada enam tahun.
Katanya, walaupun kerajaan mahu membina generasi yang cekap teknologi dan mahir dalam kecerdasan buatan, identiti Malaysia tetap mesti dibina atas asas akhlak, nilai dan budaya tempatan.
“Kita mahu anak bangsa pintar, cekap budaya, cekap teknologi dan AI. Tetapi mereka tetap mesti berakar kepada budaya sendiri, agama sendiri, dan penekanan akhlak,” katanya lagi.
Dasar Kasih Keluarga Negara merupakan sebahagian daripada Agenda Nasional Kasih Keluarga yang digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai kerangka besar untuk memperkukuh kesejahteraan keluarga di Malaysia.
Ia dibangunkan berasaskan keperluan untuk memastikan institusi keluarga kekal relevan dalam menghadapi perubahan ekonomi, demografi dan sosial yang semakin kompleks, termasuk cabaran era digital, tekanan psikososial serta kepelbagaian struktur keluarga masa kini.
Dasar ini diletakkan di bawah pelaksanaan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPLKN), yang berperanan mengarusperdanakan pembangunan keluarga menerusi pendekatan holistik merangkumi kebapaan, keibubapaan, kesihatan reproduktif, dan pendidikan sosial.
Pengukuran kesejahteraan keluarga dilakukan melalui Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK), yang kini menjadi KPI nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 hingga RMK-13.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengaitkan pelaksanaan dasar baharu itu dengan pendekatan turun ke daerah seperti di zaman Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak, yang kini dihidupkan semula melalui program Kampung Angkat MANDANI dan Sekolah Angkat MADANI.
Beliau berkata, pegawai kanan Kerajaan, termasuk Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah dan pegawai peringkat tertinggi, akan terus turun ke lapangan bagi mengenal pasti masalah keluarga dan komuniti di peringkat akar umbi.
“Mereka jaga ratusan juta di pejabat. Tetapi kita minta, boleh atau tidak turun beberapa bulan sekali ke kampung? Tengok masalah keluarga, sekolah, projek ekonomi. Ini urusan negara, bukan urusan satu Kementerian,” katanya lagi.