KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan tinggi (IPT) boleh menarik balik penempatan latihan industri dan memanggil semula pelajar sekiranya terdapat risiko keselamatan yang perlu dielakkan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata tindakan itu boleh diambil berdasarkan penilaian pihak IPT atau laporan pelajar yang menunjukkan perlunya langkah pencegahan segera.
"Kita tentu sekali kesal apabila berlaku sebarang kemalangan melibatkan pelajar-pelajar yang mengikuti latihan industri. Sebab itu kita sentiasa mantapkan terutama sekali dari sudut pemantauan dan pelaporan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Che Alias Hamid mengenai mekanisme pemantauan untuk memastikan syarikat penyedia latihan mematuhi standard keselamatan susulan kematian seorang pelajar latihan industri Universiti Putra Malaysia akibat lemas ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor pada 16 Jun lepas.
Adam Adli berkata universiti juga perlu menjalankan tapisan lebih ketat terhadap rekod keselamatan, laporan terdahulu dan reputasi sesebuah organisasi sebelum meluluskan penempatan pelajar.
"Bagi bidang berisiko tinggi, hanya organisasi yang memenuhi keperluan keselamatan dan mempunyai sistem pengurusan keselamatan yang sesuai dipilih sebagai lokasi untuk latihan industri bagi pelajar-pelajar kita," katanya.
Beliau berkata pelajar dalam program yang melibatkan persekitaran kerja berisiko tinggi turut diwajibkan mengikuti kursus atau memperoleh pensijilan keselamatan berkaitan sebelum dibenarkan menjalani latihan industri.
Menyentuh aspek persediaan, Adam Adli berkata sebelum ditempatkan, pelajar perlu mengikuti taklimat dan kursus persediaan merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan risiko, penggunaan peralatan perlindungan diri, prosedur kecemasan serta saluran pelaporan insiden.
Beliau berkata sepanjang tempoh latihan pula, prestasi dan keselamatan pelajar akan dipantau secara berkala oleh penyelia akademik serta penyelia industri menerusi lawatan fizikal atau dalam talian selain semakan laporan kemajuan serta komunikasi berkala.
Adam Adli berkata semua pelajar yang menjalani latihan industri turut dilindungi di bawah Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Universiti sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini sepanjang tempoh latihan.
-- BERNAMA