MALAYSIA
IPT disaran jadi Pusat Penilaian APEL.M untuk perluas akses pendidikan tinggi - MQA
Mohammad Shatar berkata, pembabitan IPT sebagai PPA penting bagi memperluas akses pendidikan tinggi melalui kaedah pengiktirafan micro-credentials yang semakin mendapat perhatian masyarakat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran merebut peluang menjadi Pusat Penilaian (PPA) bagi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu untuk Micro-credentials (APEL.M) yang diperkenalkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, pembabitan IPT sebagai PPA penting bagi memperluas akses pendidikan tinggi melalui kaedah pengiktirafan micro-credentials yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
Katanya, dasar dan instrumen APEL.M telah dibangunkan oleh MQA sebagai panduan kepada pihak berkepentingan termasuk IPT dan individu bekerja yang berminat menyambung pengajian, selaras dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam usaha memperluaskan akses ke pendidikan tinggi.
“APEL.M adalah satu inisiatif fleksibel yang mengiktiraf pengalaman serta pencapaian pembelajaran tidak formal atau tidak konvensional. Ia membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk mengakses pendidikan tinggi.
“Dengan adanya APEL.M, pekerja atau mana-mana individu yang telah melengkapkan kursus micro-credentials dan mengumpul kredit daripadanya boleh memenuhi impian mereka dalam pencapaian akademik,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, micro-credentials mula diperkenalkan oleh MQA pada tahun 2020 sebagai pensijilan bagi pengetahuan, kemahiran dan kecekapan tertentu yang boleh diperoleh secara fleksibel melalui kursus berstruktur.
Katanya, micro-credentials semakin mendapat sambutan dalam kalangan pekerja kerana mampu menyokong perkembangan profesional, teknikal, akademik dan peribadi.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, usaha mengintegrasikan micro-credentials dengan APEL melalui APEL.M merupakan sebahagian daripada strategi untuk memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat negara, selain membantu Malaysia mencapai aspirasi sebagai hub pendidikan tinggi global.
Beliau berkata, penilaian APEL.M hanya berdasarkan portfolio calon tanpa ujian tambahan, kecuali jika panel penilai memerlukan pengesahan bukti melalui temu duga atau pembentangan.
Katanya, portfolio yang dihantar mesti lengkap dengan maklumat kursus dan kredit daripada kursus micro-credentials yang telah diperolehi dan dokumen sokongan seperti sijil, digital badge atau Malaysian Micro-credentials Statement (MMS).
“Kaedah ini mengurangkan halangan kemasukan ke IPT malah, pengalaman dan pembelajaran terdahulu pelajar mendapat pengiktirafan sewajarnya. Hal ini dapat membantu pelajar menamatkan pengajian lebih cepat serta menjimatkan kos.
“MQA mahu memastikan APEL.M menjadi saluran alternatif yang telus, berkualiti dan diterima bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa, malah inisiatif ini juga seiring dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkasa laluan pembelajaran yang fleksibel, memperluas akses pendidikan tinggi dan menyokong agenda kebolehpasaran graduan tempatan,” katanya.