Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

IPTA dibenar laksana PdP dalam talian sempena Deepavali bermula 16 Okt - KPT

Bernama 13/10/2025 | 13:45 MYT
KPT memaklumkan kemudahan berkenaan membolehkan warga institusi terlibat meraikan Pesta Cahaya bersama keluarga dalam suasana harmoni dan bermakna.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju memberikan kemudahan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bermula 16 hingga 24 Okt ini sempena sambutan Deepavali.

KPT memaklumkan kemudahan berkenaan membolehkan warga institusi terlibat meraikan Pesta Cahaya bersama keluarga dalam suasana harmoni dan bermakna.

"Kemudahan ini meliputi universiti awam, politeknik dan kolej komuniti bagi meraikan perayaan Pesta Cahaya ini," menurut kenyataan KPT.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan dipersetujui hasil perbincangan bersama jabatan dan agensi berkaitan, dengan pelaksanaannya tertakluk kepada kesesuaian serta keperluan program akademik masing-masing di institusi terlibat bagi memastikan aktiviti pengajaran tidak terjejas.

KPT memaklumkan kemudahan tersebut merupakan satu daripada usaha bagi meraikan kepelbagaian agama dan budaya dalam kalangan warga IPT selaras dengan semangat keterangkuman serta keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

Dalam pada itu, KPT turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, tenaga akademik, warga KPT serta rakyat Malaysia beragama Hindu dengan harapan agar perayaan itu membawa cahaya kegembiraan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua.

Perayaan Deepavali disambut pada 20 Okt ini.

-- BERNAMA




#ipta #Kementerian Pendidikan Tinggi KPT #Pdp dalam talian #Deepavali