MALAYSIA

Iran sedia bekerjasama dengan ASEAN, beri jaminan tidak jejas kestabilan rantau - Duta

Siti Farhana Sheikh Yahya 26/06/2025 | 04:30 MYT
Valiollah turut mengecam tindakan Israel menyerang bukan sahaja di Iran tapi juga di Palestin dan negara lain di rantau itu. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Iran menegaskan bahawa konflik yang sedang dihadapi negara itu tidak akan menjejaskan kestabilan rantau Asia, termasuk Asia Tenggara, malah bersedia memperkukuh kerjasama ekonomi dan diplomatik dengan ASEAN.
Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, Tehran mempunyai kepentingan besar untuk memperluas hubungan dengan rantau ini, khususnya melalui kerjasama pelbagai hala bersama blok serantau seperti ASEAN.
“Iran menganggap Malaysia sebagai sahabat baik dan hubungan antara kedua-dua negara kekal utuh. Apa yang berlaku (konflik) tidak akan menjejaskan hubungan ini, mahupun kestabilan rantau,” katanya dalam satu temu bual khas bersama media di sini.
Beliau turut menggesa komuniti antarabangsa termasuk ASEAN agar menyuarakan sokongan terhadap Iran, khususnya dalam mengecam tindakan Israel yang menurutnya melanggar undang-undang antarabangsa.
“Banyak blok serantau dan antarabangsa seperti OIC, NAM, GCC, dan BRICS telah mengecam tindakan Israel. Kami berharap ASEAN juga akan tampil menyatakan pendirian,” katanya.
Mengulas mengenai Selat Hormuz yang menjadi laluan perdagangan utama dunia, Valiollah memberi jaminan bahawa Iran tidak akan menghalang akses di kawasan tersebut, terutamanya kepada negara jiran.
“Setakat ini, tiada sebarang masalah di Selat Hormuz. Ia kekal terbuka untuk perdagangan dan kami tidak akan letakkan sebarang halangan. Namun jika keadaan berubah pada masa depan, kami akan membuat keputusan sewajarnya,” jelasnya.
Menyentuh ancaman keselamatan semasa, beliau menegaskan bahawa Iran tidak menginginkan peperangan, namun akan bertindak balas jika diserang.
“Kami tidak suka perang, tetapi jika diserang, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mempertahankan negara dan tamadun kami,” tegasnya, sambil merujuk kepada pengalaman Iran ketika berperang selama lapan tahun menentang rejim Saddam Hussein di Iraq.
Valiollah turut mengecam tindakan Israel menyerang bukan sahaja di Iran tapi juga di Palestin dan negara lain di rantau itu, sambil menyifatkan komuniti antarabangsa gagal mengambil tindakan sewajarnya.
Mengulas lebih lanjut tentang keputusan Iran untuk memutuskan hubungan dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Valiollah berkata walaupun Iran merupakan ahli kepada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan aktiviti nuklearnya dipantau oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan itu tidak melindungi hak negara anggota seperti Iran.
“Israel bukan ahli NPT tetapi menyerang kami. Agensi antarabangsa sepatutnya melindungi ahli mereka. Kami memutuskan hubungan dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kerana mereka gagal mengutuk serangan Israel,” katanya.
Selain itu, mengenai rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS), beliau berkata Iran tetap terbuka untuk berunding dan membuktikan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan aman dan bagi memperkasakan pelbagai bidang seperti perubatan, pertanian dan teknologi.
“Semasa rundingan dahulu, kedua-dua pihak optimis. Tetapi ramai percaya serangan Israel adalah bertujuan menggagalkan perjanjian. Kami masih bersedia untuk berunding, kerana kami berpegang kepada undang-undang antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengulas tindakan Presiden AS, Donald Trump yang memberi tempoh dua minggu untuk rundingan, tetapi bertindak melakukan serangan lebih awal dengan berkata: “Kita tidak boleh anggap apa sahaja yang dikatakan Trump sebagai kebenaran mutlak.”
Israel menyerang tapak nuklear dan ketenteraan di Iran pada Jumaat, 13 Jun, dengan mendakwa Tehran membangunkan senjata nuklear. AS turut menyertai serangan itu tidak lama selepas itu, namun konflik kini berada dalam fasa gencatan senjata walaupun kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian.
#Iran #Valiollah Mohammadi Nasrabadi #ASEAN #kerjasama pelbagai hala