MALAYSIA

Iran sedia sambung semula rundingan nuklear dengan AS

Bernama 28/06/2025 | 12:57 MYT
"Niat baik akan dibalas dengan niat baik, dan hormat akan dibalas dengan hormat," kata Abbas Araghchi. - Reuters
TEHRAN: Iran pada asasnya bersedia untuk menyambung semula rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS), menurut hantaran di X oleh Menteri Luar Abbas Araghchi, walaupun beliau menggesa Presiden AS Donald Trump supaya mengubah nada kenyataannya, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Jika Presiden Trump benar-benar serius mahu mencapai perjanjian, beliau sepatutnya mengetepikan nada tidak hormat dan tidak dapat diterima terhadap Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Khamenei, serta berhenti menyakiti berjuta-juta pengikut setia beliau," kata Araghchi dalam hantaran tersebut. "Niat baik akan dibalas dengan niat baik, dan hormat akan dibalas dengan hormat."
Trump sebelum ini menyatakan pada satu sidang kemuncak bahawa rundingan baharu dengan Iran akan diadakan minggu depan, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Beberapa pusingan rundingan antara Tehran dan Washington mengenai program nuklear Iran sebelum ini gagal mencapai sebarang persetujuan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada Jun lalu, Israel telah menyerang beberapa kemudahan di seluruh Iran dalam perang selama 12 hari, dengan menuduh Iran cuba membangunkan senjata nuklear.
Selain kemudahan nuklear, Israel turut menyerang kedudukan pertahanan, sasaran di bandar-bandar serta medan minyak dan gas, selain membunuh lebih 20 pegawai kanan tentera Iran, termasuk di kediaman mereka.
Iran secara konsisten menegaskan bahawa program nuklearnya adalah semata-mata untuk tujuan awam.
Selepas serangan itu, parlimen Iran meluluskan undang-undang minggu ini untuk menggantung kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), walaupun Tehran belum memaklumkan secara rasmi kepada agensi itu mengenai langkah tersebut.
Pakar berpendapat rundingan nuklear tidak akan dapat diadakan tanpa pemantauan teknikal daripada agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu.
-- BERNAMA
#Iran #rundingan nuklear #Amerika Syarikat #abbas araghchi #Donald Trump #Tehran #Washington