KUALA LUMPUR: Dalam era pendigitalan yang terus berkembang, usaha membina ekosistem digital yang selamat, inklusif dan diyakini semua pihak kini menjadi antara keutamaan di peringkat global.
Menyedari kepentingan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan International Regulatory Conference (IRC) 2026 yang bakal menghimpunkan pengawal selia, pembuat dasar, pemimpin industri dan pakar teknologi bagi membincangkan masa depan regulasi digital.
Berlangsung di Kuala Lumpur pada 21 hingga 22 Julai depan, persidangan bertemakan "Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust" itu akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sekali gus memantapkan komitmen Malaysia dalam menerajui perbincangan mengenai dasar telekomunikasi dan regulasi digital di peringkat antarabangsa.
Sebagai kesinambungan persidangan yang dianjurkan sejak 2024, IRC 2026 menjadi platform penting untuk menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri, ahli akademik dan pakar dari dalam serta luar negara bagi berkongsi pandangan mengenai cabaran, peluang serta hala tuju ekonomi digital dan sektor komunikasi serta multimedia.
Sepanjang dua hari persidangan, peserta akan mengikuti 10 sesi dialog yang memfokuskan pelbagai isu kritikal termasuk keselamatan dalam talian, perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital, privasi data, hak pengguna, kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum, robotik, kesihatan mental, tadbir urus digital, kerjasama rentas negara serta pembangunan bakat digital masa hadapan.
Persidangan akan dimulakan dengan ucaptama oleh Anggota Suruhanjaya, Derek John Fernandez, bertajuk Balancing Safety and Freedom: How Can We Protect Minors Online Without Stifling Their Digital Growth, sebelum diteruskan dengan pelancaran rasmi IRC 2026.
Bagi memastikan setiap perbincangan memberi impak kepada pembangunan dasar, kesemua dialog akan dikendalikan oleh barisan kepimpinan kanan MCMC, antaranya Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali, Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) MCMC, Eneng Faridah Iskandar, Penasihat Kanan MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin, Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Ts Dr Ahmad Nasruddin 'Atiqullah Fakrullah, Ketua Pegawai Pembangunan MCMC, Stella Jeevamani Navaratnam, Ketua Pegawai Pembangunan Industri MCMC, Muhammad Razali Anuar dan Ketua Pegawai Sumber Manusia MCMC, Dr Murugappan.
IRC 2026 turut menampilkan penyertaan lebih 40 tokoh tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai sektor termasuk UNICEF, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), International Telecommunication Union (ITU), ASEAN Secretariat, Internet Society (ISOC), CyberSecurity Malaysia, Huawei Malaysia, Ericsson, IBM Quantum, Maxis, Shopee Malaysia, TNG Digital, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
Persidangan itu turut memberi penekanan kepada kepentingan kerjasama antara kerajaan, industri, institusi akademik dan organisasi antarabangsa dalam membentuk dasar yang mampu menyokong inovasi teknologi tanpa mengabaikan aspek keselamatan, privasi dan kepentingan pengguna.
Persidangan berkenaan dijangka menjadi antara platform kawal selia digital paling penting di rantau ini, dengan dapatan dan perbincangannya berpotensi menyumbang kepada pembangunan dasar komunikasi dan multimedia negara pada masa hadapan.
Melalui IRC 2026, MCMC terus memangkin peranannya sebagai peneraju dalam mempertemukan pelbagai pihak berkepentingan bagi merangka penyelesaian terhadap landskap digital yang semakin kompleks, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia ke arah ekosistem digital yang lebih selamat, berdaya tahan dan dipercayai.