KUALA LUMPUR: Malaysia berharap Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 menjadi pemangkin kepada tindakan susulan di peringkat nasional dan antarabangsa dalam memperkukuh kerangka kawal selia digital, seiring kepesatan perkembangan teknologi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dapatan dan pandangan yang dikumpulkan sepanjang persidangan itu bukan sahaja akan dimanfaatkan di Malaysia, malah dikongsi di platform antarabangsa seperti International Telecommunication Union (ITU) bagi memperkukuh kerjasama rentas negara.
Beliau berkata, Malaysia sebagai anggota Majlis ITU melihat IRC 2026 sebagai platform strategik untuk membandingkan pendekatan kawal selia yang diamalkan oleh pelbagai negara, sekali gus mengenal pasti amalan terbaik yang boleh disesuaikan mengikut keperluan tempatan.
“Yang kita harap terhasil daripada forum ini ialah beberapa tindakan susulan, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain.
“Malaysia merupakan ahli Majlis ITU dan dapatan yang kita peroleh akan dibawa untuk dikongsikan di peringkat badan antarabangsa seperti ITU,” katanya pada sidang media selepas merasmikan IRC 2026 di ibu negara pada Rabu.
Menurut Fahmi, kerjasama antarabangsa penting bagi memastikan kerangka kawal selia terus relevan dalam mendepani landskap teknologi yang berubah pantas, namun pada masa sama tidak menghalang inovasi serta keyakinan pelabur.
Katanya, setiap negara mempunyai pendekatan kawal selia yang berbeza mengikut keperluan masing-masing, namun pengalaman dan amalan terbaik boleh dikongsi bagi memperkukuh dasar sedia ada.
“Kita tidak mahu kerangka kawal selia berada pada satu tahap sehingga tidak ada mana-mana pihak mahu melabur dalam teknologi baharu. Kawal selia dan inovasi perlu bergerak seiring,” tambahnya.
Jelasnya, perkembangan teknologi yang terlalu pantas turut membawa cabaran baharu termasuk peningkatan risiko penipuan, jenayah siber dan ancaman terhadap pengguna, sekali gus menjadikan kerjasama antara pengawal selia lebih penting berbanding sebelum ini.
“Apa yang kita dapati ketika ini ialah teknologi bergerak terlalu pantas sehingga menimbulkan keraguan, masalah malah jenayah yang boleh memangsakan pengguna.
“Sebab itulah platform seperti IRC 2026 ini sangat tepat pada masanya dan insya-Allah akan diteruskan kerana pengalaman yang boleh kita timba daripada negara-negara lain sangat penting untuk mengenal pasti kelompangan dalam undang-undang serta tindakan yang perlu kita ambil dalam negara,” ujarnya.
Fahmi berkata, hasil perbincangan sepanjang IRC 2026 akan menjadi antara rujukan kerajaan dalam menambah baik dasar serta perundangan berkaitan teknologi digital, termasuk cadangan yang akan dipertimbangkan di peringkat Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen jika diperlukan.
Persidangan dua hari anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menghimpunkan pengawal selia, pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik dan pakar teknologi bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan dalam talian, tadbir urus data, kecerdasan buatan (AI), komunikasi kuantum dan sistem autonomi.