MALAYSIA
Isham Jalil tidak hina mahkamah isu 1MDB, SRC babit Najib - Hakim

Isham bersama peguam yang mewakilinya, Tan Sri Azhar Azizan Harun, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil tidak dikenakan perintah komital oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, berhubung kritikannya terhadap kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi menolak permohonan Jabatan Peguam Negara untuk prosiding komital terhadap Isham Jalil berhubung kritikannya terhadap kes 1MDB dan SRC, kerana dakwaan penghinaan tidak berkait langsung dengan mahkamah yang mengendalikan kes tersebut.
- Hakim menyatakan bahawa kritikan terhadap badan kehakiman tidak menjejaskan keyakinan awam dan undang-undang komital bertujuan melindungi pentadbiran keadilan, bukan maruah hakim, selaras dengan kebebasan mengadili kes secara adil dan bebas.
- Isham didakwa membuat kenyataan berunsur penghinaan dalam satu temu bual, namun mahkamah menegaskan penghakiman kes rasuah adalah berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan tekanan awam atau emosi.
Menurutnya, dakwaan bahawa Isham selaku responden telah menghina badan kehakiman, tidak menjejaskan keyakinan orang awam terhadap sistem keadilan negara.
Beliau berkata, tujuan undang-undang komital, bukan untuk melindungi maruah hakim sebaliknya membela hak orang awam dengan memastikan pentadbiran keadilan tidak dihalang.
“Dengan perkembangan media sosial, kritikan terhadap hakim dan keputusan mereka adalah perkara biasa, seperti yang dijawab oleh responden dalam jawapannya kepada perintah tunjuk sebab.
“Sebagai hakim, tugas kami menuntut supaya mengadili kes dengan kebebasan mutlak, tidak pilih kasih dan memastikan integriti tidak dipertikai,” katanya.
Beliau berkata, ia bukan suatu yang mudah kerana hakim perlu teguh dalam menghadapi cabaran dan kritikan, demi memastikan neraca keadilan tidak condong akibat tekanan luar atau desakan pendapat awam.
Katanya, penghakiman dalam kes rasuah membabitkan 1MDB dan SRC jelas berdasarkan fakta dan undang-undang, bukannya emosi atau tekanan masyarakat.
Justeru beliau berkata, perkara itu menunjukkan keadilan dipandu oleh prinsip undang-undang, bukan gelombang pendapat awam atau serangan tidak berasas.
Sebelum ini, Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil didakwa mempersoalkan prosiding perbicaraan serta rayuan Najib termasuk proses penarikan diri Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang pernah mendengar kes 1MDB.
Pada 4 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan AGC untuk memulakan prosiding komital, dengan permohonan agar hukuman penjara atau denda dikenakan terhadap Isham.
Menurut AG, kenyataan Isham yang dibuat dalam satu temu bual bertajuk ‘Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi kehakiman dan boleh menggugat keyakinan awam terhadap badan itu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami