MALAYSIA

Islamic Relief gesa akses bantuan Gaza tanpa sekatan

Azyyati Ahmad 18/10/2025 | 01:35 MYT
Islamic Relief Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk memperluas operasi bantuan kecemasan dan menyokong usaha pemulihan sebaik sekatan terhadap akses kemanusiaan dihentikan sepenuhnya. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Islamic Relief Malaysia menyeru pelaksanaan penuh gencatan senjata di Gaza serta akses tanpa sekatan bagi bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan penduduk Palestin selepas dua tahun kekejaman berterusan.


Ringkasan AI
  • Islamic Relief Malaysia gesa gencatan senjata penuh di Gaza, serta akses tanpa sekatan bagi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.
  • Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas disifatkan sebagai langkah penting, namun terlalu lewat selepas PBB mengesahkan kekejaman sebagai genosid.
  • Organisasi tekankan keperluan keadilan dan akauntabiliti, serta kesediaan memperluas operasi bantuan sebaik sekatan dihentikan.


Menurut kenyataan media pertubuhan itu, pengumuman mengenai persetujuan Israel dan Hamas terhadap fasa pertama perjanjian gencatan senjata disifatkan sebagai langkah penting ke arah keamanan, namun dibuat terlalu lewat selepas panel pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan kekejaman yang berlaku sebagai tindakan genosid.

Islamic Relief menegaskan dunia tidak boleh lagi menyaksikan harapan palsu dan janji kosong, sebaliknya pemimpin dunia mesti memastikan serangan sistematik, pengusiran serta kebuluran terhadap orang awam dihentikan sepenuhnya.

“Keamanan berkekalan hanya boleh dicapai apabila wujud keadilan dan akauntabiliti - tiada lagi kekebalan bagi pelaku jenayah dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa ditegakkan,” menurut kenyataan itu.

Organisasi itu turut menekankan bahawa bantuan kemanusiaan perlu disalurkan tanpa berlengah kerana setiap hari kanak-kanak di Gaza sedang mati akibat kebuluran dan kekurangan perkhidmatan asas.

Islamic Relief Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk memperluas operasi bantuan kecemasan dan menyokong usaha pemulihan sebaik sekatan terhadap akses kemanusiaan dihentikan sepenuhnya.






#Gaza #bantuan kemanusiaan #Israel #gencatan senjata