Skip to main content

Malaysia

Ismail gariskan tiga teras utama pentadbiran baharu Negeri Sembilan

SEREMBAN, 14 Ogos -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim (tengah) bergambar bersama kakitangan awam pada Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, hari ini.
Ismail (tengah) bergambar bersama kakitangan awam pada Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim menggariskan tiga teras utama pentadbiran kerajaan negeri baharu, iaitu kestabilan, kemajuan dan kemakmuran sebagai landasan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan secara berkesan.

Beliau berkata teras berkenaan menjadi panduan pentadbiran negeri dalam usaha menyelesaikan permasalahan rakyat, mempercepat urusan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.

"Kita mahu membina sebuah negeri yang stabil dari segi institusi, pentadbiran dan politik, bukan sekadar sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Lebih penting ialah memastikan kestabilan institusi Raja Berperlembagaan dan institusi adat yang menjadi payung negeri, di samping melaksanakan dasar yang mampu memberikan keyakinan kepada rakyat dan pelabur,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata kemajuan negeri bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui penciptaan peluang, tarikan pelaburan berkualiti dan pembangunan yang seimbang supaya kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Ismail berkata pembangunan tidak seharusnya tertumpu di bandar-bandar utama, sebaliknya kawasan luar bandar, termasuk kawasan felda perlu bergerak seiring dalam fasa pembangunan negeri.

Beliau berkata bagi kutipan hasil negeri setakat ini mencecah RM522.4 juta, sekali gus optimis sasaran kutipan hasil negeri sebanyak RM1 bilion menjelang 2030 mampu dicapai.

Ahli DUN Juasseh itu berkata negeri ini turut merekodkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar sebanyak RM55.8 bilion pada tahun lepas berbanding RM54.3 billion pada tahun sebelumnya, dengan pertumbuhan 2.6 peratus yang dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Dalam pada itu, Ismail berkata kepelbagaian pengalaman, kepakaran serta tenaga baharu dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baru dilantik akan memperkukuh pasukan pentadbiran negeri dalam merealisasikan agenda berkenaan.

Beliau turut yakin kerjasama antara barisan Exco dan perkhidmatan awam mampu menjadikan Negeri Sembilan lebih berdaya saing dalam pelaburan dan perniagaan, selain membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda serta memperkukuh sektor pertanian dan ekonomi desa.

“Kita sedang mengurus harapan lebih 1.2 juta rakyat Negeri Sembilan. Marilah bergerak sebagai satu pasukan, tekad dan tujuan dengan membina sebuah kerajaan yang dipercayai dan perkhidmatan awam yang dihormati,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut menyeru semua jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), sekolah, premis perniagaan serta rakyat negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement