KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan tiga gerak kerja kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Perdana Menteri, langkah pertama yang perlu diberi perhatian adalah memastikan BN sentiasa berusaha untuk mencapai budaya kerja kelas pertama.

"Kerja kelas pertama ini ditafsirkan sebagai berpasukan, berdisiplin dan kesetiaan kepada parti.  Pemimpin dan ahli Barisan Nasional yang setia bukanlah yang ada ketika senang sahaja, namun, tetap setia walau dilambung badai setinggi mana pun.

"Terima kasih kepada MCA, MIC dan PBRS yang tidak meninggalkan BN walaupun kita kalah dalam PRU14. Saya kira yang berada dalam dewan ini, sudah teruji kesetiaannya. Seinci pun tidak berganjak dari parti walau berdepan dengan ugutan, tekanan, ancaman mahupun tawaran yang menggiurkan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan” bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48 hari ini

Berucap lanjut, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, elemen kedua ialah BN  perlu memenangi hati rakyat.

Sebagai Perdana Menteri, beliau memberi jaminan akan memastikan dasar-dasar yang dibuat adalah menguntungkan rakyat.

"Selain itu, perkhidmatan yang terbaik harus diberikan kepada rakyat. Kerajaan sentiasa cakna, mengambil berat, mencari inisiatif terbaik dan segera menyelesaikan masalah setempat.

"Elemen Ketiga; Merangka formula Strategi Kemenangan Pilihan  Raya Umum ke-15. Strategi ini perlu fokus kepada pemantapan jentera Pilihan Raya di antara parti komponen," ujarnya lagi.

Justeru, Ismail Sabri berkata bersempena dengan Konvensyen BN hari ini adalah penting untuk semua parti komponen BN memperbaharui ikrar mereka.

Ia termasuk ikrar kepada rakyat keseluruhannya; ikrar untuk menjadi yang terbaik dan ikrar meneruskan kelangsungan perjuangan memartabatkan negara tercinta Malaysia.