[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
NATIONAL

Ismail Sabri dijangka sambung beri keterangan kali kelapan di SPRM esok

Khalis Khadir 06/05/2025 | 07:21 MYT
Azam Baki pada Selasa lalu berkata, siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri baru capai 15 hingga 20 peratus. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyambung keterangan kali kelapan pada Rabu.

Ringkasan AI
  • Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk menyambung keterangan kali kelapan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan siasatan kes baru mencapai 15 hingga 20 peratus, kerana masih banyak dokumen yang perlu disahkan dan disemak.
  • Ismail Sabri disiasat berhubung perbelanjaan dan perolehan dana bagi promosi program kerajaan semasa tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Ahli Parlimen Bera itu dikatakan sepatutnya hadir memberi keterangan hari ini, namun ditangguhkan.
“Proses menyambung keterangan itu perlu diteruskan kerana terdapat pelbagai dokumen yang perlu disahkan beliau, pegawai penyiasat akan rakam keterangan pagi esok,” kata sumber kepada media pada Selasa.
Pada Selasa lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan pihaknya terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri baru mencapai 15 hingga 20 peratus.
Tambah beliau, siasatan kes seumpama ini lazimnya mengambil masa kerana SPRM perlu mendapatkan pelbagai dokumen sokongan dan mengesahkan punca harta yang diisytiharkan.
Azam tidak menafikan sesi mengambil keterangan daripada Ismail Sabri dijangka disambung semula oleh pegawai penyiasat tidak lama lagi.
Kali terakhir pemimpin veteran UMNO itu dipanggil adalah pada 24 April lalu, bagi proses soal siasat dan memberi keterangan lanjut bagi pengisytiharan harta.
Ismail Sabri berdepan siasatan berhubung isu rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi serta publisiti program yang dijalankan kerajaan.
Dakwaan salah laku itu dibuat ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
#SPRM #Azam Baki #ismail sabri yaakob #terkini #sambung beri keterangan