Skip to main content

Malaysia

Ismail Sabri mengaku tidak bersalah tidak isytihar harta RM14 juta, pelbagai mata wang asing dan lima kilo jongkong emas

Bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

Advertisement

KUALA LUMPUR: “Faham, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.”

Demikian pengakuan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Bekas Perdana Menteri itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Suzana Hussin dalam prosiding yang bermula kira-kira jam 9.35 pagi.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera itu didakwa atas pertuduhan tidak mengisytiharkan harta membabitkan wang berjumlah RM14 juta dan pelbagai mata wang asing lain, lima jongkong emas seberat lima kilogram, sekeping perak dan syiling emas.

Mata wang asing berkenaan terdiri daripada SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta , ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu AED34.7 juta dan AUD$352,850.

Ismail Sabri bagaimanapun dilihat tenang sepanjang prosiding.

Ahli Parlimen Bera itu didakwa memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Mengikut pertuduhan itu, notis berkenaan dihantar kepada beliau oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A.

Beliau dengan itu melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara  tidak melebihi lima tahun; dan didenda tidak melebihi RM 100,000.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khanmemohon jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin, selain pasport Ismail Sabri diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun,  peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memohon jumlah jaminan yang munasabah, dengan menegaskan tujuan utama jaminan adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukannya sebagai bentuk hukuman.

Beliau turut memaklumkan anak guamnya memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan SPRM.

"Beliau hadir ke pejabat SPRM sebanyak 10 kali sejak siasatan bermula pada awal 2025," jelasnya.

Amer Hamzah turut berhujah sepanjang tempoh siasatan, SPRM tidak pernah memohon untuk menyekat perjalanan antarabangsa tertuduh.

"Selain itu, Ismail Sabri juga dikatakan sentiasa mematuhi proses mahkamah dan tidak pernah gagal hadir atau mengelakkan diri daripada mana-mana arahan mahkamah," tambahnya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM300,000, dengan seorang penjamin daripada ahli keluarga.

Mahkamah turut membenarkan pasport Ismail Sabri tidak diserahkan kerana mendapati beliau tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 September.

Sementara itu, Amer Hamzah menyifatkan pertuduhan tidak mengisytiharkan harta, termasuk wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas yang dihadapi anak guamnya sebagai pelik.

Beliau berkata pihak pembelaan akan meneliti pertuduhan berkenaan sebelum mempertimbangkan tindakan lanjut, termasuk kemungkinan mencabar kesahan dan kewajarannya.

Katanya, perkara itu turut menimbulkan persoalan kerana sebahagian wang tunai yang dinyatakan dalam pertuduhan berkenaan sebelum ini sudah menjadi subjek prosiding pelucuthakan dan diperintahkan untuk dilucutkan kepada kerajaan.

"Kami memaklumkan kepada mahkamah yang kami mempunyai beberapa persoalan berhubung kewajaran dan kesahan pertuduhan itu, namun kami tidak akan mengulasnya secara terperinci buat masa ini.

"Kami akan meneliti pertuduhan berkenaan terlebih dahulu dan sekiranya terdapat asas, kami akan mencabar kesahan atau kewajaran pertuduhan tersebut," katanya ketika ditemui media di perkarangan mahkamah.

Amer Hamzah berkata, pihak pendakwaan dijadual menyerahkan dokumen berkaitan pada 29 September, manakala pihak pembelaan akan menggunakan tempoh itu untuk meneliti pertuduhan berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement