Ismail Sabri mula tugas Timbalan Perdana Menteri

Bernama
Julai 9, 2021 03:19 MYT
Ismail Sabri mengimbas kad perakam masa pada hari pertama beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra hari ini. Turut kelihatan, Mohd Zuki (kiri). --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memasuki Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra, di sini bagi memulakan tugasnya sebagai pemimpin nombor dua dalam pentadbiran kerajaan.
Bersut serba biru, ketibaan Ismail Sabri di perkarangan Kompleks Perdana Putra pada jam 10 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.
Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Rabu lalu selain dikekalkan memegang portfolio Menteri Kanan Pertahanan.
Timbalan PM | Ismail Sabri mula tugasan di Perdana Putra
Ismail Sabri mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya di Aras 4 dan kemudian menandatangani Buku Selamat Datang, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM Muhd Redza Ahmad.
Beliau kemudiannya menghadiri Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Putra menempatkan pejabat-pejabat utama dalam pentabiran negara seperti Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara.
-- BERNAMA
#Timbalan Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #pemimpin nombor dua #Kompleks Perdana Putra #TPM