Ismail Sabri tinggalkan Istana Negara

Firdaus Azil
Ogos 21, 2021 07:43 MYT
Ahli Parlimen Bera itu sempat membuka tingkap dan melambai kepada media yang berkampung di Istana Negara. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 3.25 petang tadi.
Ahli Parlimen Bera itu sempat membuka tingkap dan melambai kepada media yang berkampung di Istana Negara.
Kira-kira sejam sebelum itu, beliau selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-9 di Istana Negara pada jam 2.28 petang, hari ini.
Naib Presiden UMNO itu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Antara yang turut berada di dalam Balai Singgahsana Kecil menyaksikan peristiwa itu ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun serta Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim.
Selain itu, turut kelihatan ialah ketua-ketua parti politik negara seperti Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yasin, Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, serta Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.
[INFOGRAFIK] Profil Datuk Seri Ismail Sabri
Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Selepas kenderaan beliau meninggalkan Istana Negara, kelihatan beberapa kenderaan lain keluar dari Pintu 1 bermula jam 3.30 petang.
Kenderaan tersebut dilihat membawa Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak disusuli kenderaan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun serta Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim.
#Perdana Menteri #angkat sumpah #Istana Negara #ismail sabri yaakob #Yang di-Pertuan Agong #Al Sultan Abdullah #Perdana Menteri ke-9