MALAYSIA
Ismanira nafi sempat tukar baju selepas Zayn Rayyan hilang

Ismanira (foto) menafikan bahawa dia sempat menukar pakaian selepas menyedari anaknya hilang pada 5 Disember 2023. -Gambar fail
PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menafikan dia sempat menukar pakaian selepas menyedari anaknya hilang pada 5 Disember 2023.
Ringkasan AI
- Ismanira Abdul Manaf menafikan dia menukar pakaian selepas menyedari anaknya, Zayn Rayyan, hilang dan menjelaskan dia hanya naik ke rumah sebentar untuk memastikan anaknya tidak pulang ke rumah.
- Pihak pendakwaan mempersoalkan tindakan Ismanira yang sempat meletakkan barang di rumah walaupun mendakwa anaknya telah diculik, serta mencadangkan dia terserempak dua kali dengan saksi yang melihat perubahan pakaian, namun Ismanira tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut.
- Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dengan pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, susulan penemuan mayat anaknya di anak sungai berdekatan kediaman sehari selepas dilaporkan hilang.
Sebaliknya, menurut Ismanira, dia naik ke rumah di tingkat dua Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, untuk memastikan sama ada Zayn Rayyan telah pulang ke rumah terlebih dahulu.
“Saya dapati Zayn tiada di depan rumah. Jadi saya buka pintu dan letakkan barang-barang seperti makanan dan beg sekolahnya.
“Kemudian saya turun semula untuk mencari, masa naik tu sekejap saja, kurang lima minit. Lepas tu saya terus cari di bawah dan naik ke setiap tingkat,” katanya.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan mempersoalkan tindakannya yang sempat naik ke rumah dan meletakkan barang, walaupun ketika itu mendakwa anaknya telah diculik.
Raja Zaizul: Semalam puan kata anak diculik. Dalam keadaan risau itu, puan masih sempat naik ke rumah dan ambil masa untuk letak barang. Setuju?
Ismanira: Tidak setuju.
Raja Zaizul: Jadi puan terus mencari Zayn Rayyan dengan pakaian yang sama?
Ismanira: Ya.
Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan bahawa tertuduh telah terserempak dengan jiran, Rashidah Rajali yang merupakan saksi pendakwaan ke-16 sebanyak dua kali di tangga Blok R, pada hari kejadian.
Raja Zaizul: Saya cadangkan puan terserempak dengan Rashidah dua kali.
Ismanira: Saya tak pasti.
Raja Zaizul: Ketika itu Rashidah mahu hantar anak ke sekolah jam 12.15 tengah hari dan lihat puan naik tangga menggalas beg sekolah.
Ismanira: Tidak setuju.
Raja Zaizul: Kali kedua, 20 minit kemudian, Rashidah nampak puan pakai pakaian berbeza.
Ismanira: Tidak setuju.
Sebelum ini, Rashidah, 37, dalam keterangannya pada 18 Februari lalu berkata, dia terserempak dengan tertuduh dua kali pada hari kejadian.
Katanya, kali pertama Ismanira memakai baju putih serta tudung dan seluar palazzo hitam, manakala kali kedua memakai tudung bercorak warna lebih gelap.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai tanggungjawab menjaga Zayn Rayyan, didakwa telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokan harinya di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman sehingga ke lokasi anak sungai berdekatan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di anak sungai kira-kira 200 meter dari blok kediamannya, pada jam 10 malam keesokan harinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami