[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

Ismanira tiba di mahkamah keputusan kes abai Zayn Rayyan

Umavathi Ramayah 31/10/2025 | 00:50 MYT
Ismanira tiba di pekarangan Mahkah Sesyen Petaling Jaya ditemani suaminya, Zaim Ikhwan. - Gambar Astro AWANI
PETALING JAYA: Ibu kepada kanak-kanak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf tiba di Mahkamah Sesyen di sini bagi mendengar keputusan di akhir kes pembelaan atas pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.

Ismanira ditemani suaminya, Zaim Ikhwan Zahari hadir memasuki pekarangan mahkamah sekitar pukul 8.30 pagi.

Mereka turut diiringi beberapa individu dipercayai ahli keluarga.

Hakim Mahkamah Sesyen, Syahliza Warnoh dijangka membacakan keputusan di akhir kes pembelaan sekitar pukul 9 pagi.

Sekiranya hakim mendapati Ismanira bersalah, maka mahkamah akan menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Namun tertuduh masih boleh mengemukakan rayuan pertama di Mahkamah Tinggi dan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari.

Jika mahkamah mendapati peguam bela berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, Ismanira akan dibebaskan serta-merta.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.

Namun pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan dikemukakan terhadap Ismanira, manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap suami Ismanira, Zaim Ikhwan.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan tersebut didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokan harinya.

Sebelum ini, pihak pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 18 September lalu dan dibalas pihak pendakwaan pada 1 Oktober.

Dalam hujahan bertulis pihak pembelaan menghujahkan keterangan Ismanira bukannya satu penafian kosong semasa wanita itu membela diri.

Malah, keterangan menunjukkan apa yang dikatakan wanita itu adalah konsisten selain tidak membuat fikiran terkemudian (afterthought) semasa memberi penjelasan.

Sementara itu, pasukan pendakwaan pula berhujah bahawa keterangan mengikut keadaan menunjukkan semasa Allahyarham Zayn Rayyan berada di bawah jagaan Ismanira, tertuduh mendedahkan kanak-kanak itu kepada kemungkinan berlakunya kecederaan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira pukul 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang sebelum ditemukan terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.



#kes Zayn Rayyan Abdul Matin #pengabaian kanak-kanak #ibu Zayn Rayyan #Ismanira Abdul Manaf