NATIONAL

Israel bunuh wartawan Palestin ketika dirawat di hospital

Bernama 13/05/2025 | 08:07 MYT
Keadaan sebuah hospital di Gaza yang musnah akibat serangan misil Israel pada 13 April 2025. -Gambar hiasan/Reuters
ANKARA: Tentera Israel awal pagi Selasa membunuh seorang wartawan Palestin ketika beliau sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Ringkasan AI
  • Seorang wartawan Palestin, Hassan Eslaih, terbunuh dalam serangan Israel ketika sedang menerima rawatan di Hospital Nasser, Khan Younis, menjadikan jumlah wartawan yang terbunuh sejak Oktober 2023 meningkat kepada 215 orang.
  • Pejabat Media Gaza dan Kementerian Kesihatan Palestin mengecam serangan ke atas hospital dan penyasaran wartawan, serta menggesa tindakan antarabangsa terhadap Israel.
  • Serangan Israel ke atas Gaza telah meragut hampir 52,900 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan Israel kini berdepan tindakan undang-undang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas dakwaan jenayah perang dan genosid.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan yang berpangkalan di Gaza memaklumkan bahawa wartawan Hassan Eslaih telah dibunuh oleh Israel ketika sedang dirawat di Hospital Nasser selepas terselamat daripada cubaan pembunuhan sebelum ini.
Menurut kenyataan itu, pembunuhan Eslaih menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh oleh Israel sejak bermulanya genosid di Gaza pada Oktober 2023 meningkat kepada 215 orang.
Pejabat berkenaan turut mengecam sekeras-kerasnya "penyasaran sistematik terhadap wartawan" oleh Israel, dan menggesa Persekutuan Wartawan Antarabangsa, Kesatuan Wartawan Arab serta semua pertubuhan media di seluruh dunia supaya mengecam jenayah Israel dan mendakwanya di mahkamah antarabangsa.
Kementerian Kesihatan Palestin pula mengecam jenayah pengeboman Hospital Nasser di Khan Younis oleh Israel yang mengakibatkan dua pesakit terbunuh.
Lewat Isnin, tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Semenanjung Gaza selepas jeda sementara bagi membolehkan kumpulan Hamas membebaskan seorang askar warga Israel-Amerika, Edan Alexander, susulan persetujuan antara Hamas dan pentadbiran Amerika Syarikat.
Sejak serangan ganas Israel bermula pada Oktober 2023, hampir 52,900 penduduk Palestin terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa susulan peperangannya di wilayah terkepung itu.
-- BERNAMA
#wartawan Palestin #Hassan Eslaih #Hospital Nasser #Mahkamah Jenayah Antarabangsa