GADGETS
Israel didakwa guna teknologi Microsoft Azure intip telefon warga Palestin

Israel didakwa menggunakan Microsoft Azure untuk menyimpan dan menganalisis jutaan panggilan telefon warga Palestin setiap hari melalui Unit 8200. -Amanz
ISRAEL didakwa menggunakan infrastruktur awanan Microsoft Azure bagi melakukan pengintipan besar-besaran ke atas panggilan telefon warga Palestin.
Ringkasan AI
- Israel didakwa menggunakan Microsoft Azure untuk menyimpan dan menganalisis jutaan panggilan telefon warga Palestin setiap hari melalui Unit 8200
- Rakaman audio disimpan di pusat data Azure di Belanda dan Ireland, melibatkan lebih 200 juta jam audio yang digunakan untuk operasi ketenteraan
- Microsoft menafikan penglibatan langsung dalam sistem pengawasan tersebut walaupun mempunyai kontrak bernilai $133 juta dengan Israel dan pernah berurusan dengan Unit 8200
Israel menggunakan alasan pemantauan besar-besaran ke atas warga Palestin adalah atas sebab keselamatan walaupun ia melanggar hak asasi manusia.
Sistem intipan ini sudah beroperasi sejak 2022 dengan data yang dikumpul kemudiannya digunakan untuk membantu melakukan serangan udara serta telah merancang operasi ketenteraan di Gaza dan Tebing Barat.
Dalam dokumen yang tertiris, rakaman panggilan telefon warga Palestin telah disimpan di pusat data Azure yang terletak di Belanda dan Ireland. Di pangkalan data Belanda sahaja, rakaman audio melebihi 200 juta jam disimpan dengan ia mengambil ruang simpanan 11,500 TB.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Microsoft, mereka mendakwa “tidak mengetahui Azure digunakan untuk penyimpanan data sedemikian.”
Manakala Unit 8200 hanyalah pelanggan perkhidmatan awanan dengan mereka “tidak membina atau berunding dengan Unit 8200” untuk membina sistem pengawasan berasaskan awanan.
Ini bukan kali pertama Microsoft dituduh terlibat dalam membantu Israel melakukan genosid di Palestin. Awal tahun ini sejumlah kakitangan Microsoft dipecat selepas melakukan bantahan terbuka kepada Satya Nadella ketika beliau melakukan ucap tama.
Ini memaksa Microsoft mengeluarkan kenyataan menafikan Azure dan sistem AI mereka digunakan untuk melakukan serangan ke atas Palestin selepas 7 Oktober 2023 walaupun mempunyai kontrak bernilai $133 juta dengan Israel. -Amanz

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami