NATIONAL
Israel perlu bertanggungjawab lindungi penduduk Palestin - Azalina
Azalina berkata, Israel sebagai pihak yang menduduki, mempunyai kewajipan untuk melindungi penduduk di bawah kawalannya. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi mengesahkan komitmennya terhadap undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin dengan mengemukakan kenyataan dalam Sesi Pendengaran Awam prosiding Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), pada Isnin.
Ringkasan AI
- Malaysia menegaskan komitmen terhadap undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin dengan memberi kenyataan rasmi di ICJ.
- Malaysia menekankan bahawa Israel sebagai kuasa pendudukan wajib melindungi rakyat Palestin serta mematuhi prinsip hak asasi dan undang-undang kemanusiaan.
- Tindakan Israel, termasuk terhadap UNRWA dan sekatan di Gaza, dilihat melanggar kewajipan mereka sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Israel sebagai pihak yang menduduki, mempunyai kewajipan untuk melindungi penduduk di bawah kawalannya.
Malaysia menggariskan bahawa sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Israel terikat dengan hubungan antara negara berasaskan prinsip hak sama rata.
Tegas Azalina, dasar dan tindakan Israel, khususnya membabitkan United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA), telah menimbulkan kebimbangan yang serius.
"Pertama, kewajipan Israel sebagai kuasa penjajah, seperti yang telah diperincikan dalam kenyataan bertulis Malaysia, seperti yang akan diringkaskan dalam pembentangan kita hari ini, ditubuhkan untuk memberi perlindungan kepada rakyat di bawah pendudukan asing.
"Kedua, kewajipan Israel sebagai anggota negara bersatu diwujudkan dalam usaha mencapai tujuan pertubuhan itu, untuk membina hubungan mesra antara negara berdasarkan penghormatan terhadap prinsip persamaan hak dan penentuan nasib sendiri.
"Ketiga, dasar dan amalan Israel baru-baru ini, terutamanya berkenaan dengan UNRWA, bukan sahaja merupakan pelanggaran kewajipan ini sebagai kuasa pendudukan dan sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebaliknya jika digabungkan, mereka juga membuat pelanggaran serius di setiap empat aspek hak untuk menentukan nasib sendiri rakyat Palestin," katanya.
Tambah Azalina, mahkamah memutuskan bahawa Palestin adalah unit wilayah tunggal, dan Israel mempunyai kewajipan sebagai kuasa pendudukan, termasuk ke atas Semenanjung Gaza.
Kewajipan Israel itu berteraskan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, yang kekal terpakai walaupun semasa konflik senjata.
"Mahkamah telah pun mendapati bahawa Palestin membentuk satu unit wilayah, dan Israel bertanggungjawab sebagai kuasa pendudukan bagi keseluruhan unit wilayah itu, tanggungjawab yang sepadan dengan tahap kawalan ke atasnya.
"Kawalan efektif ini telah lengkap pada hari ini, termasuk di Semenanjung Gaza, kerana saya merujuk kepada tindakan Israel menghalang bantuan kemanusiaan dan bekalan elektrik di Gaza secara total.
"Sebagai kuasa yang menduduki seluruh Palestin, Israel berada di bawah matriks kewajipan yang berpunca daripada undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Yang terakhir ini kekal terpakai, walaupun semasa konflik bersenjata," katanya lagi.
Ini merupakan penyertaan ketiga Malaysia dalam prosiding Pendapat Penasihat ICJ berkaitan Palestin, berikutan penglibatan sebelumnya pada 2004 dan 2024.
Israel menyambung semula serangan ketenteraannya ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lalu, selepas menghentikan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang dilaksanakan sejak Januari.