MALAYSIA

Israel serang Iran: Malaysia kecam serangan, gesa tekanan global - PM Anwar

Bernama 13/06/2025 | 07:15 MYT
Serangan Israel menyasarkan ibu negara Iran, Tehran, serta beberapa bandar lain. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa rakan-rakan Israel, khususnya negara yang mempunyai pengaruh serta keupayaan diplomatik, agar menggunakan segala bentuk tekanan bagi menghentikan sebarang tindakan pencerobohan susulan serangan ketenteraan rejim itu terhadap Iran.


Ringkasan AI
  • Malaysia menggesa negara berpengaruh untuk menggunakan tekanan diplomatik terhadap Israel, bagi menghentikan pencerobohan susulan serangan ketenteraan rejim itu ke atas Iran.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam keras serangan tersebut, menyifatkannya sebagai tindakan melulu yang boleh memburukkan ketegangan rantau serta mensabotaj rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran.
  • Serangan Israel menyasarkan ibu negara Iran, Tehran, serta beberapa bandar lain, dengan imej dan rakaman menunjukkan kepulan asap tebal di beberapa lokasi, mencetuskan kebimbangan antarabangsa.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran Facebook beliau hari ini, mengecam sekeras-kerasnya serangan berkenaan, termasuk serangan yang disasarkan dan telah mengorbankan pemimpin kanan Iran, sambil menyifatkannya sebagai tindakan berat dan melulu yang boleh memburukkan lagi ketegangan di rantau yang sudah pun rapuh.

"Tujuan utamanya jelas untuk mensabotaj rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dan Iran. Ia juga berlaku ketika tindakan Israel di Gaza kembali menjadi perhatian dan tekanan politik terhadap (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu semakin memuncak.

"Masyarakat antarabangsa tidak boleh membenarkan sebarang tindakan yang mensabotaj usaha diplomasi dan mengancam keamanan global," kata Anwar.

[TERKINI] Israel serang Iran: Apa yang kita tahu setakat ini

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa rejim Israel melancarkan serangan ke atas ibu negara Iran, Tehran, serta beberapa bandar lain di negara itu.

Menurut Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), serangan berkenaan berlaku awal pagi Jumaat, dan beberapa imej serta rakaman yang belum disahkan mula tular di media sosial, memaparkan langit Tehran dengan kepulan asap tebal kelihatan di beberapa lokasi.

-- BERNAMA



#Israel serang Iran #Anwar Ibrahim #malaysia kecam #tekanan global #terkini