JOHOR BAHRU: Sebanyak 2,000 paket bubur lambuk dikurniakan Istana Johor kepada rakyat di daerah Muar dan Johor Bahru sempena Ramadan tahun ini.
Kurniaan berkenaan diserahkan melalui Pejabat Daerah masing-masing pada 25 Feb dan semalam (27 Feb) sebelum diedarkan kepada golongan asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) serta agensi kerajaan.
Advertisement
Serahan bubur lambuk itu disempurnakan oleh Penyelia Istana Johor, PW1 (B) Faizol Abdullah kepada wakil Pejabat Daerah untuk tujuan pengagihan kepada penerima yang dikenal pasti.
"Kurniaan bubur lambuk tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti mengimarahkan Ramadan yang dilaksanakan atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sejak 2020.
"Program berkenaan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kebajikan rakyat khususnya golongan memerlukan, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan kasih sayang sepanjang bulan Ramadan," kata kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
--BERNAMA