MALAYSIA
Istana Negara agih daging korban kepada 14,000 penerima termasuk asnaf

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Zailani Hashim menghadiri pada Majlis Penyerahan Agihan Daging Lembu Ibadah Korban Sunat Yang di-Pertuan Agong Kepada Asnaf di Surau Surau Al Jannah hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 14,000 individu termasuk golongan asnaf menerima agihan daging korban sumbangan Istana Negara, sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Ringkasan AI
- Sumbangan daging korban dari Istana Negara: Sebanyak 14,000 individu termasuk golongan asnaf menerima agihan daging korban hasil sumbangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, melibatkan 100 ekor lembu.
- Penerima manfaat luas: Selain golongan asnaf, daging korban turut diagihkan kepada warga Istana Negara, golongan B40, rumah anak yatim, sekolah tahfiz, pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), serta institusi di bawah MAIWP dan JKMWP.
- Semangat kebersamaan dan keprihatinan: Inisiatif ini menekankan nilai kasih sayang dan empati, dengan harapan budaya memberi dan berkongsi rezeki dapat dipupuk dalam masyarakat.
"Jumlah keseluruhan penerima manfaat agihan daging yang telah dan akan diagihkan ialah lebih kurang 14,000 penerima," katanya kepada pemberita di Surau Al Jannah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil, hari ini.
Di surau berkenaan, sebanyak empat ekor lembu dikorbankan untuk diagih kepada 225 asnaf sekitar kawasan tersebut.
Sementara itu, Zailani dalam ucapannya berkata kurniaan itu membuktikan bahawa rakyat sangat dekat di hati Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, khususnya golongan yang memerlukan.
"Sumbangan ini bukan sekadar berupa daging korban, tetapi ia membawa bersamanya nilai kasih sayang dan keprihatinan yang amat tinggi nilainya," katanya.
Beliau berkata inisiatif itu boleh dijadikan contoh oleh semua pihak, baik pada peringkat kerajaan, swasta mahupun individu agar budaya memberi dan berkongsi rezeki terus dipupuk dan diperluas.
"Dalam dunia yang kian mencabar hari ini, nilai kebersamaan, tolong-menolong dan empati adalah lebih penting. Semangat korban ini harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan keprihatinan yang berterusan, bukan hanya ketika musim perayaan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Surau Al Jannah Ismail Zainuddin, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Istana Negara atas sumbangan daging korban itu.
"Ini kali pertama kami mendapat agihan daging korban daripada Istana Negara. Alhamdulillah sumbangan ini dapat membantu golongan asnaf di sekitar kawasan ini," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa komuniti di PPR berkenaan terdiri daripada lima blok perumahan dan sambutan daripada penduduk amat menggalakkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami