Isteri ADUN Serting meninggal dunia

Bernama
April 27, 2022 03:40 MYT
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Air Keli, Batu Kikir selepas solat Zohor hari ini.
SEREMBAN: Datin Rashidah Ismail, 60, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting Datuk Shamshulkahar Mohd Deli meninggal dunia akibat penyakit spinocerebellar ataxia, pada awal pagi tadi.
Pegawai Media ADUN Serting Zainaul Abidin Raub berkata Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi tadi di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini.
"Allahyarhamah menghidap penyakit berkenaan sejak lima tahun lepas namun kesihatannya merosot sejak kebelakangan ini. Allahyarhamah meninggalkan dua orang anak," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Air Keli, Batu Kikir selepas solat Zohor hari ini.
-- BERNAMA
#ADUN Serting #Rashidah Ismail #meninggal dunia #spinocerebellar ataxia