KUALA LUMPUR:Isteri kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low, Jesselynn Chuan Teik Ying gagal mendapat kerakyatan Cyprus.

Ia selepas Jesselynn Chuan pada 2019 memohon kerakyatan dengan mengikut jejak suaminya, bagi mendapat perlindungan di negara tersebut.

Memetik laporan Malaysiakini, menerusi penyiasatan bersama Sarawak Report dan Organised Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP), ada sebuah syarikat di United Kingdom (UK) membantu Jho Low dan sekutunya mendapatkan kewarganegaraan Cyprus.

"Siasatan mendapati Henley & Partners yang berpangkalan di London membantu Jho Low untuk mendapatkan kewarganegaraan Cyprus melalui syarikatnya di sana, FidesCorp Services Limited.

"Syarikat itu bagaimanapun menafikan Jho Low sebagai pelanggan mereka.

"Henley & Partners mendapat bayaran dan komisen berjumlah AS$710,000 (RM3.47 juta). Syarikat itu tegas menafikan mereka bertindak secara tidak wajar dan menyalahkan pekerja kerana gagal mematuhi prosedur," katanya yang dipetik Malaysiakini pada Selasa.

Jho Low sebelum ini memiliki pasport Cyprus pada 2015, ketika dia dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mendapat perhatian dunia termasuk daripada badan siasatan antarabangsa.

Dalam pada itu, laporan itu menambah, hasil siasatan mendapati, permohonan Jesselynn Chuan ditolak selepas Jho Low dikaitkan dengan skandal terbabit selain 'skim kewarganegaraan untuk pelaburan' negara itu juga dalam permerhatian pihak tertentu.

"Pada 2019, Jho Low adalah salah seorang pelarian paling terkenal di dunia. Tetapi ia tidak menghalang pembekal perkhidmatan di Cyprus menghulurkan bantuan sekali lagi," kata siasatan itu.

Sementara itu, menurut laporan tersebut, Gereja Kristian Ortodoks Cyprus turut terpalit dengan isu pasport Jho Low.

Ia didakwa Jho Low melobi dengan menjanjikan untuk memberikan sumbangan tertentu kepada gereja berkenaan.

Jho Low mendapat pasport Cyprus menerusi Pelan Pelaburan Cyprus yang mensyaratkan pihak berminat mendepositkan AS$5 juta dalam bank Cyprus selama tiga tahun dan membeli rumah dengan harga sekurang-kurangnya AS$500,000 (RM2.44 juta).

Jho Low kemudiannya membeli sebuah vila yang belum siap di Cyprus pada harga tersebut pada 23 September 2015.

Menurut dokumen yang diperolehi Sarawak Report dan OCCRP, Jho Low menyatakan dana untuk kewarganegaraan itu akan dipindahkan daripada HSBC di Hong Kong.

Pada 9 September 2020, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya mengesan beberapa transaksi yang dilakukan Jho Low antaranya untuk membeli tanah di Cyprus.