SEPANG: Pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok atau Kicok, kembali ke tanah air selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest (8,848.86 meter) pada 18 Mei lalu, sekali gus menamatkan ekspedisi hampir dua bulan di Nepal.
Kepulangan beliau disambut penuh syukur oleh isterinya, Syuaibatul Islamiah Roeswardhi, 47 tahun, yang mengakui keluarga sentiasa berdebar sepanjang misi pendakian tersebut kerana risiko tinggi yang perlu dihadapi di laluan tertinggi dunia itu.
“Sekarang ini rasa syukur dan tidak sabar nak jumpa dia sebab dah lama juga hampir dua bulan ekspedisi ini berlangsung. Sepanjang dia di sana memang kami sentiasa berdoa setiap hari kerana pendakian Everest ini penuh cabaran dan risiko,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Menurutnya, kebimbangan keluarga berterusan walaupun Mohd Khafiz sudah berjaya sampai ke puncak Everest, kerana fasa menuruni gunung dianggap lebih mencabar dan berbahaya.
“Waktu dia sampai puncak pun kami masih berdebar, dan ketika turun pun perasaan itu tetap sama. Dalam ekspedisi gunung, sampai ke puncak mungkin matlamat utama, tetapi turun dengan selamat itu yang lebih penting,” katanya.
Beliau berkata, kelegaan sebenar hanya dirasai selepas dimaklumkan suaminya selamat tiba di base camp, sebelum akhirnya pulang ke Malaysia dalam keadaan selamat.
Syuaibatul Islamiah turut memaklumkan, seluruh keluarga memberi sokongan penuh terhadap minat Mohd Khafiz dalam aktiviti pendakian.
Katanya, dia sendiri turut menemani Mohd Khafiz sepanjang 20 hari pertama ekspedisi itu sehingga ke base camp sebelum pulang ke tanah air.
“Alhamdulillah keluarga kami memang sangat menyokong minat beliau dan semua memahami minatnya dalam aktiviti pendakian ini,” katanya.