NATIONAL
Isteri Pastor Koh dakwa komposisi Pasukan Petugas Khas tidak adil
Isteri kepada Pastor Raymond Koh, Susanna Liew hari ini mendakwa barisan ahli Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan, tidak adil, memandangkan tiada representasi dari Majlis Peguam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam satu kenyataan hari ini, Liew berkata, jika badan berkenaan mempunyai wakil, sudah pasti pasukan berkenaan akan dilihat lebih adil dan telus dalam melaksanakan siasatan.
“Datuk Mokhtar Mohd Noor, yang telah dipanggil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk memberi keterangan tempoh hari, turut dilantik sebagai salah seorang ahli pasukan berkenaan," tambah Liew.
“Jika seorang anggota polis yang telah menjadi saksi inkuiri Suhakam dibenarkan menjadi ahli pasukan berkenaan, sepatutnya peguam kedua-dua keluarga (Pastor Koh dan Amri) perlu dimasukkan dalam senarai ahli, bagi memastikan siasatan yang lebih telus,” katanya lagi.
Liew berkata, perkara ini sama sekali tidak boleh diterima, dan mereka percaya di mana mana tempat yang mengamalkan demokrasi, perkara sebegini pasti tidak akan terjadi.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan ahli Pasukan Petugas Khas, di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda.
Dalam sidang media itu, ketika ditanya jika adakah wajar polis dimasukkan dalam pasukan berkenaan, Muhyiddin berkata, tiada pegawai atau bekas pegawai polis yang dilantik bukan dari Cawangan Khas dimasukkan ke dalam pasukan petugas khas itu.
"Malah untuk melantik anggota pasukan ini juga mengambil masa supaya ada ketelusan,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami