MALAYSIA

Isteri Presiden Poland, Agata Duda nikmati Cruise Tasik Putrajaya

Bernama 10/06/2025 | 05:50 MYT
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bergambar bersama isteri Presiden Poland, Agata Kornhauser-Duda ketika lawatan di Cruise Tasik Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Agata Kornhauser-Duda, isteri kepada Presiden Poland Andrzej Duda hari ini menaiki Cruise Tasik Putrajaya, mengelilingi dan menikmati keindahan landskapnya di sini.


Ringkasan AI
  • Agata Kornhauser-Duda, isteri Presiden Poland, menikmati Cruise Tasik Putrajaya sambil berbual mesra dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan mencanting batik sebelum merakam gambar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
  • Presiden Poland Andrzej Duda tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari, bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.
  • Lawatan ini bertepatan dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, manakala Poland akan memegang jawatan Presiden Majlis Kesatuan Eropah bagi separuh pertama tahun yang sama.


Ketibaan beliau pada 10.30 pagi disambut oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Agata Duda meluangkan masa kira-kira 45 minit berbual mesra dengan Dr Wan Azizah sambil menikmati pemandangan bangunan ikonik yang mengelilingi pusat pentadbiran negara.

Beliau turut berpeluang mencanting batik sebelum merakam gambar berlatar belakang Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Presiden Duda dan isteri tiba di Putrajaya semalam untuk lawatan rasmi tiga hari yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.

Lawatan itu, yang merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Ogos 2015, berlangsung pada waktu yang tepat, selaras dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, manakala Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah bagi separuh pertama pada tahun sama.

Pesawat khas yang membawa Duda, isteri dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 8.21 malam dan disambut oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

-- BERNAMA




#Isteri Presiden Poland #cruise tasik putrajaya #Agata Duda #Wan Azizah Wan Ismail