MALAYSIA
Isteri suspek ditembak mati di Sungai Petani ditahan, polis rampas sepucuk pistol

Wanita berkenaan kini direman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 12 Julai bagi membantu siasatan. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Polis menahan isteri kepada suspek lelaki yang maut dalam insiden berbalas tembakan di Bandar Puteri Jaya, malam Sabtu, sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut terhadap kumpulan penjenayah bersenjata yang aktif di beberapa negeri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata wanita berusia awal 20-an itu ditahan di rumah sewa pasangan berkenaan, yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan di kediaman tersebut, polis turut merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, pada Ahad.
Wanita berkenaan kini direman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 12 Julai bagi membantu siasatan.Terdahulu, seorang lelaki berusia 34 tahun ditembak mati oleh polis dalam operasi khas pada jam 7.50 malam Sabtu, selepas enggan menyerah diri dan melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.
Suspek dipercayai mempunyai lebih 30 rekod jenayah lampau, termasuk samun bersenjata dan pengedaran dadah.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan suspek mempunyai kaitan dengan dua individu lain yang ditembak mati dalam insiden berasingan di Jitra, Kedah, pagi Sabtu.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami