Isu 1MDB: "Saya sudah jawab surat Speaker" - Tengku Zafrul

Umavathi Ramayah
Mac 11, 2022 11:54 MYT
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, surat berhubung 1MDB sepatutnya dihantar dihantar pada 9 Mac lalu, namun beliau menghantarnya sebelum tarikh tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan beliau telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun bagi menjelaskan isu berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau memberitahu, surat tersebut sepatutnya dihantar dihantar pada 9 Mac lalu, namun beliau telah menghantarnnya sebelum tarikh tersebut.
"Memang saya terima surat (daripada Speaker), saya diminta untuk memberi jawapan selewat-lewatnya 9 Mac, saya hantar jawapan saya sebelum 9 Mac lalu," katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka GLC pada Jumaat.
Sebelum ini Dewan Rakyat meminta Tengku Zafrul dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjelaskan kenyataan mereka berhubung 1MDB selewat-lewatnya Rabu lalu.
Pun begitu, Azhar memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau menerima surat daripada bekas perdana menteri yang meminta pelanjutan masa sehingga Rabu depan namun beliau benarkan permohonan tersebut sehingga Selasa.
Sebelum ini, Tengku Zafrul menyatakan dakwaan Najib yang mengatakan hutang prinsipal 1MDB masih belum dibayar sehingga kini adalah tidak berasas.
#1MDB #Dewan Rakyat #Najib Razak #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz