KOTA BHARU: Bekas exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa mempersoalkan keperluan sehingga RM7 bilion bagi menyelesaikan masalah bekalan air terawat di negeri itu.

Beliau berpandangan jumlah diberikan kerajaan negeri Kelantan itu sebagai melebihi keperluan sebenar untuk menyelesaikan masalah air.

"Minta Datuk Timbalan Menteri Besar yang umumkan itu senaraikan pecahan perbelanjaan RM7 bilion itu tadi.

"Sekali imbas saya rasa itu lebih dari keperluan.

"Kedua, saya bimbang ada pihak dalam AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd) dan kerajaan negeri yang ambil kesempatan permohonan geran dan pinjaman kemudahan kewangan," kata Husam.

Husam mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang memaklumkan sekurang kurangnya RM7 bilion diperlukan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan.

Peruntukan tersebut membabitkan pembinaan loji baharu, kolam takungan, serta penukaran paip lama.

Husam berkata, peruntukan kewangan untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan dianggarkan sekitar RM3 bilion.

Kelantan menghadapi masalah air tidak terhasil (NRW) melebihi 50 peratus yang menyebabkan tekanan air menjadi rendah serta menjejaskan penyaluran bekalan.

Namun, katanya, sekiranya tiada kepakaran dan pengurusan yang betul dalam usaha mengatasi masalah air di Kelantan, isu air tidak akan dapat diselesaikan walaupun peruntukkan disalurkan.