GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk merujuk isu Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Ketua Menterinya,  Chow Kon Yeow berkata, pihaknya berharap isu berhubung pembekalan air mentah kepada negeri-negeri yang mengalami kekurangan sumber air dapat diselesaikan dengan baik.

Kon Yeow berkata, beliau telah memaklumkan hasil perbincangan dengan Kerajaan Negeri Perak di Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang (MMK) semalam dan memutuskan bahawa isu tersebut akan dirujuk kepada KASA .

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan berhubung SPRWTS dengan Menteri Besar Perak di Perak pada 1 Mac lepas.

Mengulas mengenai pertemuan yang berlangsung antara dua pihak tersebut, kerajaan negeri sekali lagi mengulangi permintaan kepada Perak untuk meneroka potensi Sungai Perak sebagai bekalan sumber air mentah jangka panjang.

Namun, Menteri Besar dan agensi-agensi berkaitan Kerajaan Negeri Perak telah memberi maklum balas bahawa negeri Perak, khususnya di bahagian utara juga menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah khasnya untuk kegunaan kepelbagaian sektor seperti industri, komersial, pertanian dan kediaman penduduk.

Kon Yeow berkata, Menteri Besar Perak dalam pada itu juga membuat kesimpulan permintaan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang adalah bergantung kepada kecukupan bekalan air dari Sungai Perak sebelum sebarang pertimbangan boleh dibuat.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum hujah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak, dan pada masa sama hujahan tersebut membuktikan bahawa projek SPRWTS juga amat diperlukan bukan sahaja oleh Pulau Pinang tetapi juga Perak khususnya di bahagian utara negeri berkenaan.

“Berlandaskan faktor tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang cuba meyakinkan Kerajaan Negeri Perak bahawa projek SPRWTS adalah perlu dilaksanakan demi memenuhi kehendak serta permintaan kedua-dua negeri ini” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, mengulas lanjut,  Kon Yeow berkata, pihaknya melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bersedia dengan sebuah pelan kontingensi ‘Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050’ (PWSI 2050) bagi menghadapi kekurangan air mentah di negeri itu.

Kon Yeow berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung keputusan untuk tidak membekalkan air mentah kepada kerajaan Pulau Pinang menerusi projek SPRWTS.

Saarani  berkata, selain keperluan domestik penduduk, keputusan itu dibuat dengan  mengambil kira hasil beberapa kajian yang dijalankan berhubung impak pengaliran keluar air dari Sungai Perak terhadap prestasi empangan janakuasa elektrik serta bagi kegunaan sektor perkilangan.

Katanya, berdasarkan kajian, air untuk kegunaan di Perak sendiri  tidak mencukupi sepenuhnya terutamanya apabila polulasi penduduk Perak diunjurkan bertambah kepada tiga juta menjelang 2050.