Isu air mentah: Rundingan dengan Pulau Pinang akan dilakukan segera - Sanusi

Adie Sufian Zulkefli
Disember 28, 2020 08:46 MYT
Muhammad Sanusi berkata, beliau mengarahkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah dan agensi berkaitan untuk berbuat demikian. - Gambar fail
SIK: Kerajaan Kedah akan memulakan proses rundingan rasmi berhubung isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau mengarahkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah dan agensi berkaitan untuk berbuat demikian.
Menurutnya, Kedah tetap dengan pendirian mahu menuntut bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang disalurkan ke Pulau Pinang.
"Selain daripada menghantar surat, kita pergi buat mesyuarat peringkat pegawai... peringkat Exco (kerajaan negeri Pulau Pinang)... mungkin akan sampai ke peringkat Ketua Menteri dan Menteri Besar.
"Ia (rundingan) akan bergantung kepada respons Pulau Pinang. Di pihak kita, kita sudah bersedia bertahun dah," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian selepas menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Pusat Khidmat Rakyat Pas Sungai Pau, Sik, hari ini.
BACA: Caj air mentah: Pulau Pinang tunggu tindakan lanjut dari Kedah
BACA: Caj air mentah: Kerajaan Pulau Pinang enggan 'perang mulut' dengan Kedah - Chow Kon Yeow
Muhammad Sanusi menjelaskan, tuntutan rasmi melalui surat telah dihantar kepada Pulau Pinang beberapa kali sebelum ini, namun tidak diendahkan.
Katanya, surat kepada kerajaan Persekutuan juga telah dihantar kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan beberapa permohonan lain.
"Kita minta federal (kerajaan Persekutuan) untuk menjadi pemudah cara... dalam jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air di Parlimen, beliau minta Pulau Pinang bayar," katanya.
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dilaporkan berkata, mereka menunggu tindakan yang akan diambil kerajaan Kedah berhubung isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap negeri itu.
Kon Yeow memaklumkan, Pulau Pinang tidak menerima sebarang permohonan bagi mengadakan perbincangan rasmi antara kedua-dua kerajaan negeri sejak isu tersebut dibangkitkan.
#air #Kedah #pulau pinang #caj air mentah #Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor #Ketua Menteri #Chow Kon Yeow