Isu air: PM akan runding dengan MB Perak, KM Pulau Pinang

Abd Razak Mohd Ali
Mac 11, 2023 06:38 MYT
Anwar merasmikan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia hari ini. Turut hadir, Nik Nazmi (kanan) dan Mohammad Nizar (kiri). - Gambar/ Bernama
IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan rundingan dengan Menteri Besar Perak dan Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung isu bekalan air mentah membabitkan kedua-dua negeri itu.
Ia berikutan kerajaan negeri Perak, tetap dengan keputusan untuk tidak membekalkan air dari Sungai Perak ke Pulau Pinang.
Anwar berkata, keputusan mengenainya akan dimuktamadkan selepas kajian dibuat secara ilmiah dan saintifik.
"Proses ini dalam perbincangan kerana tentunya Perak beri keutamaan untuk keperluan negeri Perak, itu tak salah cuma dasar.
"Kita tengok apakah benar lebihannya banyak... unjurannya untuk keperluan lima tahun, 10 tahun... itu semua dikaji secara ilmiah dan saintifik, kemudian baru buat keputusan.
"Saya akan runding dengan menteri, dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Menteri Besar Perak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Infrastruktur, Tenaga Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Disember lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tetap dengan keputusan tidak membekalkan air ke Pulau Pinang meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah membentuk kerajaan campuran di peringkat Pusat.
Menurutnya, Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada kerajaan Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan kerana kapasiti yang ada hanya cukup untuk negeri Perak sahaja.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar mahu semua pihak yang terlibat dengan isu air supaya 'berfikir di luar kotak' bagi mencari jalan mengatasi masalah bekalan air di seluruh negara.
Katanya, mereka tidak harus terus menggunakan kaedah lama yang digunakan sejak berpuluh tahun lalu.
"Makna ikhtiar, maknanya sains, maknanya teknologi, maknanya penyelidikan, maknanya usaha memikir luar daripada kotak lama.
"Ini kita pakai kotak lama, pakai had itu saja... fikir 40 tahun yang lalu, guna yang itulah juga sampai sekarang, tak memikir kaedah-kaedah baharu," katanya.
Beliau berharap isu air dan masalah berkaitan dapat diselesaikan melalui pelan Transformasi Sektor Air (WST) 2040.
WST2040 akan dilaksanan secara berfasa akan membangunkan sektor air negara bagi menjamin sekuriti dan kelestarian air selain menjadikan sektor air sebagai pemangkin ekonomi negara.
#isu air #pulau pinang #Perak #Anwar Ibrahim