MALAYSIA

Isu Ambalat akan dibincang semasa lawatan PM ke Indonesia - Fahmi

Yasmin Natasha 02/07/2025 | 08:15 MYT
Fahmi berkata, rundingan yang kali terakhir diadakan pada 2017 itu akan menjadi medan penting untuk kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu dua hala. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini, dengan isu Ambalat antara perkara yang dijangka dibincangkan.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Jakarta pada 29 Julai, yang kali terakhir diadakan pada tahun 2017.
  • Rundingan ini dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk isu Ambalat, namun bukan bertujuan untuk menyelesaikan sepenuhnya pertikaian sempadan maritim tersebut.
  • Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil menyatakan rundingan ini menjadi platform penting untuk menetapkan hala tuju bersama dan meneliti aspek teknikal berkaitan isu Ambalat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, rundingan yang kali terakhir diadakan pada 2017 itu akan menjadi medan penting untuk kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu dua hala.
Beliau juga menjangkakan rundingan itu menjadi permulaan kepada perbincangan lebih mendalam mengenai Ambalat namun bukan merupakan penyelesaian muktamad terhadap pertikaian kawasan berkenaan.
“Proses konsultasi tahunan ini lazimnya menjadi forum terbaik bagi kedua-dua pemimpin menyatakan pandangan serta menetapkan hala tuju berkaitan isu bersama.
“Isu Ambalat bukan sesuatu yang baharu dan saya menjangka ia akan turut dibincangkan. Namun seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, terdapat pelbagai aspek teknikal yang perlu diteliti,” katanya pada sidang media hari ini.
Ambalat merupakan kawasan blok laut di Laut Sulawesi yang menjadi pertikaian sempadan maritim antara kedua-dua negara sejak sekian lama.
#Fahmi Fadzil #Anwar Ibrahim #Ambalat #Indonesia