MALAYSIA
Isu Batu Puteh: Tun Mahathir tidak mahu imuniti

Dr Mahathir berkata, beliau mahu dihadapkan ke mahkamah kerana yakin dirinya tidak bersalah dalam kes tersebut. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mahu sebarang imuniti, sebaliknya meminta dihadapkan ke mahkamah berhubung kes pertikaian Pulau Batu Puteh.
Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Mahathir mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghukumnya sebagai bersalah dalam kes tersebut, sebelum mengambil keputusan untuk tidak meneruskan sebarang tindakan mahkamah.
“Yang hukum saya bersalah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar. Yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Datuk Seri Anwar.
“Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja PM, dia juga hakim dan juga pendakwa raya. Begitulah hebat kuasanya.“Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwa raya atau hakim,” ujar beliau.
Dr Mahathir menambah, beliau mahu dihadapkan ke mahkamah kerana yakin dirinya tidak bersalah dalam kes tersebut.
“Imuniti untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah,” ujarnya.
Batu Puteh, yang juga dikenali sebagai Pedra Branca, direbut oleh Malaysia dan Singapura sejak tahun 1970-an.
Pada 1994, kedua-dua negara bersetuju untuk membawa pertikaian itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), sebelum keputusan memihak kepada Singapura pada 2008.
Sewaktu penggal keduanya sebagai Perdana Menteri pada 2018, Dr Mahathir mengambil keputusan untuk menarik balik permohonan kerajaan terhadap pulau tersebut.
Pada 2024, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat keputusan tersebut mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Walau bagaimanapun pada Selasa, Anwar berkata kerajaan tidak akan meneruskan tindakan terhadap Dr Mahathir atas pertimbangan faktor usia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami