MALAYSIA
Isu bedah siasat Syamsul Haris: Peguam tuntut Menteri Kesihatan beri penjelasan

Peguam keluarga menuntut penjelasan daripada Menteri Kesihatan berhubung bedah siasat pertama ke atas jenazah Syamsul Haris Shamsudin, dijalankan oleh seorang pegawai perubatan dan bukannya pakar forensik. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Peguam kepada keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai menuntut penjelasan daripada Menteri Kesihatan berhubung bedah siasat pertama ke atas jenazah Syamsul Haris Shamsudin, dijalankan oleh seorang pegawai perubatan dan bukannya pakar forensik.
Ringkasan AI
- Keluarga pelatih Palapes tuntut penjelasan mengapa bedah siasat pertama ke atas Syamsul Haris dilakukan oleh pegawai perubatan, bukan pakar forensik, walaupun bantahan awal dibuat.
- Surat rasmi dihantar kepada hospital dan jika tiada jawapan, Menteri Kesihatan diminta beri penjelasan; laporan bedah siasat kedua dijangka siap dalam tiga bulan.
- Permohonan larangan terhadap Menteri Pertahanan ditarik balik selepas aku janji bahawa tiada kenyataan akan dikeluarkan sehingga siasatan selesai.
Bagaimanapun, selepas jenazah dihantar ke Hospital Sultan Ismail yang terletak hampir 30 kilometer dari Hospital Kota Tinggi, pegawai perubatan sama tetap menjalankan bedah siasat tersebut.
“Susulan itu, surat rasmi telah dihantar kepada Pengarah Hospital Kota Tinggi dan pakar forensik Hospital Sultan Ismail minggu lalu bagi menuntut penjelasan mengenai perkara tersebut.
“Jika pengarah hospital dan pakar forensik tidak memberi jawapan, maka Menteri Kesihatan perlu menjelaskan perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding permohonan larangan sementara terhadap Menteri Pertahanan berhubung kematian Syamsul Haris di Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai perkembangan bedah siasat kedua, Naran berkata, laporan berkenaan masih belum diperoleh dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
Semasa prosiding, Naran berkata, anak guamnya selaku pemohon telah menarik balik permohonan larangan supaya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai responden pertama dan kedua, tidak mengulas atau mengeluarkan kenyataan mengenai kes berkenaan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas pemohon menerima surat daripada Ketua Setiausaha kementerian bahawa kedua-dua responden memberi aku janji tidak akan mengeluarkan kenyataan sehingga kes selesai.
Justeru itu, Hakim, Adlin Abdul Majid mengambil maklum mengenai surat aku janji dikeluarkan Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bertarikh 24 September lalu.
Menurutnya, kedua-dua responden berjanji tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai sepenuhnya.
“Mahkamah merekodkan pemohon menarik balik permohonan terhadap responden,” katanya.
Pada 18 September lalu, Hakim, Adlin membenarkan permohonan larangan sementara terhadap kedua-dua responden.
Dalam prosiding berkenaan, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Roziza Sidek dan Nor Asma Ahmad. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami