[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Isu bendera terbalik: Aaron seru rakyat tidak terburu-buru buat andaian

Bernama 11/08/2025 | 06:44 MYT
Aaron berkata insiden itu mungkin berpunca daripada tindakan disengajakan, tetapi tidak menolak kemungkinan ia disebabkan kekhilafan atau ketidaktahuan orang awam mengenai cara yang betul untuk mengibarkan Jalur Gemilang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan supaya tidak terburu-buru membuat andaian berhubung insiden penggantungan bendera Malaysia secara terbalik yang tular baru-baru ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata tindakan menggantung bendera Malaysia secara terbalik tidak wajar dan salah dari segi tatacara pengibaran bendera negara seperti yang termaktub dalam Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, namun punca sebenar kejadian perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

"Dalam semangat perpaduan, kita tidak seharusnya terburu-buru membuat andaian tanpa menunggu hasil siasatan yang lengkap," katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.

Aaron berkata insiden itu mungkin berpunca daripada tindakan disengajakan, tetapi tidak menolak kemungkinan ia disebabkan kekhilafan atau ketidaktahuan orang awam mengenai cara yang betul untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Beliau menyeru individu, ahli politik dan mana-mana pihak berkepentingan supaya mengelakkan perbuatan atau kenyataan berbentuk provokatif yang boleh memburukkan keadaan, selain menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menentukan tindakan sewajarnya.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan menentukan sebarang tindakan atau penalti yang sewajarnya diambil.

"Namun, ia tetap menjadi satu pengajaran penting kepada kita semua agar lebih memahami dan menghayati simbol-simbol negara dengan sebaiknya. Semangat cintakan negara perlu dizahirkan dengan cara yang betul dan penuh hormat," katanya.

Pada masa sama, Aaron menegaskan rakyat tidak perlu takut atau ragu-ragu untuk memasang bendera susulan insiden itu, sebaliknya mengambil peluang untuk memahami tatacara yang betul dan terus menyokong kempen Kementerian Komunikasi '1 Rumah, 1 Jalur Gemilang' sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Beliau berkata sebagai langkah pencegahan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah diarah untuk menggerakkan kempen kesedaran di kawasan Rukun Tetangga serta melalui Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara bagi memastikan masyarakat benar-benar faham cara mengibarkan bendera negara dengan betul.

-- BERNAMA


#isu Jalur Gemilang terbalik #Aaron Ago Dagang #Akta Lambang dan Nama Mencegah Penggunaan Tidak Wajar 1963 #Jabatan Perpaduan Negara