Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan mengadakan lebih banyak kempen berhubung cara menghormati bendera Jalur Gemilang susulan isu bendera dipasang terbalik terjadi berulang kali terutamanya menjelang Hari Kebangsaan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah sudah mengambil maklum mengenai perkara tersebut kerana isu berkenaan terletak di bawah kementeriannya.

Halimah berkata kempen-kempen yang akan diadakan itu berhubung kait dengan semangat patriotisme rakyat Malaysia seperti cara mengibarkan dan menghormati Jalur Gemilang.

“Kadang-kadang ada yang keliru sama ada isu (bendera dipasang terbalik) ini di bawah kementerian saya atau KKMM.

“Ia di bawah tanggungjawab KKMM dan menterinya sudah ambil maklum untuk KKMM dan KPN mengadakan lebih banyak kempen berkaitan semangat patriotisme rakyat.

“Kempen-kempen itu bagi memberikan pemahaman kepada rakyat tentang cara mengibarkan bendera dan menghormatinya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Kelab Rukun Negara Sekretariat Rukun Negara dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif Perpaduan di Hotel Seri Pacific pada Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Datuk Sri Ti Lian Ker dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi.

Bagaimanpun, beliau tidak memberikan perincian mengenai kempen-kempen yang bakal diadaken itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kelab Rukun Negara (KRN) di peringkat sekolah rendah dan menengah serta Sekreteriat Rukun Negara (SRN) di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) akan diperkasakan semula menerusi penjenamaan semula.

Untuk rekod, sebanyak 6,621 KRN berdaftar dan 172 SRN berdaftar direkodkan di seluruh negara.

BACA: Kerajaan kaji laksana semula silibus Sivik, Tatanegara - Halimah

Katanya, ia bagi menarik lebih ramai pelajar untuk menyertai KRN dan SRN sebagai usaha meletakkan lima prinsip asas berkenaan dalam sistem pendidikan.

Pada 9 Julai, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan bagi memastikan Rukun Negara sentiasa menjadi amalan dalam masyarakat untuk diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.