MALAYSIA

Isu berita palsu: TikTok dipanggil Bukit Aman Khamis - Fahmi

Shafiqa Azami 02/09/2025 | 05:15 MYT
Pihak pengurusan TikTok akan dipanggil ke Bukit Aman Khamis bagi memberi penjelasan berhubung isu penyebaran berita palsu jelas Fahmi Fadzil. - Sumber foto Ikhwan Lee
KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan TikTok akan dipanggil ke Bukit Aman Khamis ini bagi memberi penjelasan berhubung isu penyebaran berita palsu dan keselamatan dalam talian.


Ringkasan AI
  • Pengurusan TikTok dipanggil ke Bukit Aman Khamis untuk beri penjelasan mengenai isu penyebaran berita palsu dan keselamatan dalam talian selepas didakwa lambat beri kerjasama kepada PDRM.
  • Mesyuarat akan turut disertai Ketua Polis Negara dan Peguam Negara bagi menekankan kepatuhan undang-undang media sosial; Meta juga akan dipanggil berkaitan isu kandungan berbahaya.
  • Kerajaan akan adakan sesi libat urus bulanan dengan syarikat media sosial bagi memastikan isu keselamatan siber ditangani dengan lebih tegas.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu diambil susulan kelewatan platform berkenaan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk beberapa kes penyebaran maklumat palsu melibatkan individu yang menyamar sebagai doktor pakar bedah.

“Pihak TikTok sangat lambat memberikan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga saya sendiri terpaksa menghubungi CEO TikTok, Shou Zi Chew. Sikap itu tidak boleh kita biarkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan AI Grand Prix 2025 pada Selasa.

Jelasnya lagi, mesyuarat di Bukit Aman itu ia akan turut disertai Ketua Polis Negara dan Peguam Negara bagi menekankan kepentingan pematuhan undang-undang media sosial di Malaysia.

Selain TikTok, Fahmi berkata pengurusan Meta juga akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membincangkan isu kandungan berunsur pedofilia, kegiatan ‘geng sekolah’ serta penyebaran maklumat berbahaya melalui WhatsApp dan Facebook.

“Kita dapati banyak masalah yang berlaku di platform-platform ini, namun mereka tidak mengambil sikap yang serius. Proses dialog akan diteruskan dan kita akan beri penegasan bahawa mereka wajib akur dengan undang-undang negara,” katanya.

Fahmi menambah, sesi libat urus dengan syarikat media sosial akan diadakan secara berkala setiap bulan bagi memastikan isu keselamatan siber ditangani dengan lebih tegas dan berkesan.





#berita palsu #Bukit Aman #Fahmi Fadzil #TikTok #terkini