SHAH ALAM: Sesi mediasi melibatkan McDonald’s Malaysia dan BDS Malaysia yang berjalan di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Isnin berjalan lancar dan positif.

Peguam mewakili BDS Malaysia, Datuk M Reza Hassan berkata, mediasi atau alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh melibatkan kedua-dua pihak itu berlangsung hampir dua jam.

Menurutnya, perbincangan tersebut berlangsung sangat positif dengan hanya satu atau dua perkara berbangkit yang perlu diselesaikan.

“Disebabkan undang-undang, saya tidak boleh dedahkan perkara yang dibincangkan dalam mediasi tadi.

“Bagaimanapun, ia telah pun mencapai satu tahap yang baik yang mana pihak-pihak berkenaan akan datang pada 30 April untuk melanjutkan perbincangan mengenai mediasi ini.

“Saya tak boleh bincang perkara lebih lanjut berkaitan terma dan perkara dibincangkan dalam mediasi tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai sesi mediasi di luar bangunan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Isnin.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abu Shammala menegaskan yayasan itu akan terus memberikan sokongan kepada BDS Malaysia.

Menurutnya, boikot juga akan diteruskan selagi mana rejim Zionis terus melakukan kekejaman sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

“Kami menyokong BDS Malaysia dan kami sokong aktivis serta aktiviti yang menganjurkan untuk boikot perniagaan dan negara yang bantu Israel.

“Kami percaya, kes ini adalah untuk menakutkan aktivis. Kami berharap media dan mediasi ini berjaya dan tidak beri ruang untuk syarikat menekan aktivis,” katanya.

Terdahulu, puluhan penyokong BDS Malaysia, termasuk Dr Sharif berkumpul di luar bangunan Mahkamah Shah Alam bagi menyatakan sokongan terhadap gerakan tersebut.

Mereka melaungkan pelbagai kata semangat untuk Palestin, antaranya “Bebaskan Palestin”, “Palestin tidak akan mati” dan “Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka”.

Media sebelum ini melaporkan BDS Malaysia menerima writ saman yang mendakwa gerakan itu memfitnah francais makanan segera tersebut.

Sementara itu, McDonald's Malaysia mengesahkan ia memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia untuk melindungi hak dan kepentingannya.

McDonald's Malaysia menegaskan ia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti, atau fi francais daripada operasi restoran untuk menyokong mana-mana perjuangan politik atau konflik.