MALAYSIA

Isu BUDI95, pengisytiharan harta dan peranan Malaysia dalam ASEAN 2025 tumpuan Dewan Rakyat

Astro Awani 04/11/2025 | 00:00 MYT
Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas dijadual berlangsung sehingga 4 Disember 2025. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Beberapa isu utama termasuk pelaksanaan BUDI95, ketelusan pengisytiharan harta, dan pencapaian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menjadi fokus sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.


Ringkasan AI
  • Ahli Parlimen Bukit Bendera minta penjelasan kemajuan program dan kelayakan golongan seperti pemandu e-hailing.
  • Kubang Pasu gesa kerajaan jelaskan pencapaian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan hasil AELM di Korea Selatan.
  • Isu pengisytiharan harta penjawat awam dibangkitkan, serta cadangan memperkenalkan pickleball di Sukan SEA 2027.


Mengikut aturan urusan mesyuarat, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, meminta penjelasan daripada Perdana Menteri berhubung kemajuan pelaksanaan BUDI95 dalam bulan pertama.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kelayakan golongan seperti pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-hailing dan pengguna bot sungai untuk menerima manfaat program tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan dasar luar, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, menggesa kerajaan menjelaskan pencapaian Malaysia sepanjang mengetuai ASEAN 2025.

Beliau juga meminta maklumat lanjut mengenai hasil pertemuan pemimpin ekonomi APEC (AELM) di Korea Selatan yang turut dihadiri Perdana Menteri.

Isu ketelusan turut mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman, mempersoalkan rancangan kerajaan untuk mewajibkan pengisytiharan harta secara menyeluruh bagi semua penjawat awam serta pegawai tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) milik Persekutuan.

Dalam bidang sukan, Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, mengemukakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai usaha kerajaan membangunkan sukan baharu yang semakin popular, iaitu pickleball.

Beliau turut mencadangkan agar sukan tersebut diperkenalkan di pentas temasya seperti Sukan SEA 2027.

Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas dijadual berlangsung sehingga 4 Disember 2025.

Pelbagai isu dasar dan kebajikan rakyat dijangka terus dibahaskan sepanjang tempoh persidangan ini.





#Dewan Rakyat #BUDI95 #ASEAN 2025 #pengisytiharan harta