TANJONG MALIM: Aplikasi “Saudi Visa Bio” sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa oleh Kerajaan Arab Saudi bagi melancarkan urusan jemaah haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Beliau berkata pihak berkuasa sentiasa memantau maklum balas jemaah serta menyalurkan input berkaitan kepada Kerajaan Arab Saudi bagi memastikan sebarang kesulitan teknikal dapat diatasi dengan berkesan.
“Kita sebagai rakyat Malaysia, kita akan menggunakan aplikasi itu sebaiknya dan saya dapat lihat sendiri bagaimana maklum balas yang kita beri dan ada banyak penambahbaikan yang telah pun dilakukan.
“Insya-Allah kita doakan moga pada kali ini akan lebih baik lagi dan lebih lancar,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah dan Hadiah Sastera dan Bahasa Budiman Malaysia (HASBUDI 1.0) 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan rungutan orang ramai mengenai “Saudi Visa Bio” yang didakwa terdapat kesulitan, khusus berkaitan cap jari.
Zulkifli ketika mengulas mengenai persiapan musim haji 1446 Hijrah memaklumkan penilaian rapi telah dimulakan lebih awal untuk Malaysia mengekalkan rekod pencapaian pengurusan haji terbaik di dunia pada tahun lepas.
Menurut Zulkifli, persediaan itu turut diperkukuh menerusi penganjuran karnival haji baru-baru ini melibatkan 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang mendapat sambutan luar biasa masyarakat, disusuli penyertaan menteri-menteri agama dalam Persidangan Haji di Arab Saudi pada November ini.
Menyentuh serbuan terhadap sebuah pusat sembelihan ayam di Kuala Lumpur yang didakwa beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak memiliki pensijilan halal, Zulkifli berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.
Beliau berkata JAKIM sedang melengkapkan siasatan di lapangan pada hari ini sebelum mengeluarkan pemakluman rasmi kepada umum berhubung status sebenar premis berkenaan.
“Jadi, umumnya kami memantau semua perkara ini sebaiknya, terutamanya kami ada yang pemegang-pemegang SPHM (Sijil Pengesahan Halal Malaysia) ini, iaitu kami memantau sebaiknya.
“Jadi kami ingin menyiasat, melihat perkara ini. Ada juga yang bukan pemegang SPHM. Ini yang menjadi isu. Jadi, insya-Allah di peringkat JAKIM, kami akan memaklumkan dan insya-Allah akan cuba meleraikan keresahan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan JAKIM mengesahkan menerima laporan berhubung video tular dakwaan pembekal ayam di sebuah premis di Kuala Lumpur tidak menyembelih ayam mengikut hukum syarak tetapi mencampakkannya ke dalam air panas hidup-hidup.
Berkenaan program hari ini, Zulkifli berkata penganjuran majlis berprestij itu berperanan sebagai wahana penting dalam mengiktiraf jasa dan sumbangan karyawan tempatan yang gigih memartabatkan bidang persuratan tanah air.
“Majlis penyampaian anugerah dan hadiah ini sebagai pengiktirafan kepada sumbangan penulis-penulis dan karyawan dalam pelbagai bidang, selain menghargai sumbangan mereka dalam menambahkan lagi rujukan serta panduan kepada masyarakat dalam bidang sastera,” katanya.
-- BERNAMA